Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

86) PEMBINAAN PINTU GERBANG DAN MENAIKTARAF KAWASAN LITTLE INDIA, DI JALAN TENGKU KELANA KLANG

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Manoharan A/l Malayalam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah Pintu Gerbang di Kawasan Little India, di Jalan Tengku Kelana Klang akan mula dibina?

    Pada masa ini pihak Majlis Perbandaran Klang ( MPK ) masih belum mempunyai perancangan untuk membina pintu gerbang di kawasan Little India. Ianya akan dikaji dan diambil perhatian terutama dari aspek kesan kepada imej bandar, kesesuaian tapak dan reka bentuk yang menepati inspirasi pihak istana, penduduk Klang dan MPK khususnya.  Namun begitu, cadangan reka bentuk telah dikemukakan kepada pihak UPEN dan pihak UPEN telah memohon agar pihak MPK menyediakan butiran kerja secara terperinci untuk pertimbangan selanjutnya.  Pada masa yang sama, pembinaan pintu gerbang di kawasan Jalan Tengku Kelana perlu mendapat perkenan dan kelulusan daripada pihak Istana terlebih dahulu sebelum projek diluluskan di peringkat Kerajaan Negeri.

  2. Bilakah sistem perparitan di Kawasan Little India, di Jalan Tengku Kelana Klang akan mula dinaiktaraf dan dibaiki sepenuhnya?

    Pihak Majlis Perbandaran Klang ( MPK ) memaklumkan bahawa, MPK telah pun menyediakan pelan dan reka bentuk bagi projek yang berkenaan. Pada masa yang sama pihak UPEN Selangor pula telah menyalurkan peruntukkan ke Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor bagi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Daerah Klang yang turut meliputi kawasan sekitar Jalan Tengku Kelana.

  3. Bilakah Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan Program Pembangunan dengan menaiktaraf bagi mempromosikan Kawasan Little India, sebagai tempat pelancongan dan digazetkan sebagai Kawasan Bersejarah dalam Negeri Selangor ini?

    Sejak tahun 2009, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Tourism Selangor telah melaksanakan pelbagai program bagi tujuan memperkenal dan mempromosikan kawasan Little

    India sebagai produk pelancongan baru negeri Selangor.  Programprogram yang dilaksanakan meliputi promosi-promosi melalui media cetak, media elektronik, laman web dan blog.  Selain itu, dalam rangka promosi dalam dan luar negara oleh pihak Tourism Selangor, Little India menjadi antara produk yang diberikan perhatian.  Sebagai contoh, dalam beberapa siri promosi luar negara, Little India yang juga menjadi sebahagian jajaran Heritage Walk Klang telah dipromosikan secara intensif kepada pelancong.

    Heritage Walk ini telah dilancarkan secara rasminya pada 25 Jun, 2010 oleh Y.B. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor.  Pada majlis pelancaran itu juga, seramai lebih 40 media dalam dan luar negara telah diundang dan membuat liputan tentang kawasan tersebut.  Ia juga bersempena dengan pelaksanaan program Selangor Shines Fam Tour 2010 yang antara lain telah memilih Little India dan Heritage Walk Klang sebagai lokasi program.

    Pembangunan  Heritage Walk Klang juga telah memberikan inspirasi kepada Kerajaan Negeri untuk menerbitkan risalah dan peta lokasi bagi keseluruhan kawasan yang diliputi oleh jajaran Heritage Walk.  Ini bukan sahaja membantu dari sudut penyampaian maklumat tetapi turut menjadi panduan dan promosi berguna kepada para pelancong.  Untuk makluman, Heritage Walk Klang yang turut meliputi kawasan Little India kini menjadi antara lokasi popular di kalangan para pelancong.  Menyedari hal tersebut, pada tahun 2010, projek memasang papan tanda informasi bagi 18 lokasi utama bagi jajaran Heritage Walk telah dilaksanakan. Pemasangan papan tanda informasi ini adalah sebagai memenuhi keperluan dari aspek maklumat dan latar belakang lokasi yang berkenaan.

    Sebagai maklumat tambahan, beberapa bangunan di dalam kawasan Heritage Walk Klang telahpun dikenal pasti dan disenaraikan oleh Jabatan Warisan Negara sebagai tapak atau bangunan warisan.  Antaranya ialah, Gedung Raja Abdullah, Kota Raja Mahadi, Galeri DiRaja dan Stesyen Keretapi KTM.  Dalam hal ini, saya berharap agar pihak PADAT akan terus berusaha dan mengenal pasti bangunan-bangunan lain di dalam kawasan Heritage Walk Klang dan Little India ini yang berpotensi untuk diwartakan sebagai tapak / bangunan warisan di bawah Jabatan Warisan Negara.

    Program pembangunan kawasan Little India adalah bersifat jangka panjang.  Seperti mana kawasan Brickfields di Kuala Lumpur, pembangunannya perlu meneliti dari semua sudut dan tidak boleh dibuat terburu-buru.  Justeru itu, beberapa cadangan lain telah dan akan diberikan perhatian seperti pembinaan pintu gerbang di Jalan Tengku Kelana, mengecat semula bangunan-bangunan lama di sekitar kawasan Little India, penambahbaikan sistem saliran dan beberapa perancangan lain.  Malah, kewujudan dan pengenalan serta promosi berterusan bagi Heritage Walk Klang telah memberikan kesan yang cukup baik terutama kepada premis-premis perniagaan di kawasan berhampiran.  Ramai yang memberikan maklum balas yang positif terutama berkaitan kebanjiran pelancong dan pengunjung ke kawasan tersebut.  Ini bukan sahaja memberikan kesan langsung kepada industri pelancongan di Selangor bahkan juga kepada peningkatan ekonomi peniaga-peniaga kecil di kawasan berkenaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.