Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

63) PEMBINAAN PERUMAHAN BARU KAMPUNG ORANG ASLI

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan projek pembinaan perumahan baru di kampung-kampung Orang Asli di Negeri Selangor dan tahap kesediaan projek tersebut.

    Peruntukan bagi projek pembinaan perumahan baru di perkampungan Orang Asli di Negeri Selangor bagi tahun 2020 adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Namun, peruntukan tersebut tidak diturunkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan disebabkan pada awal tahun 2020, JAKOA Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan masih lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu sebelum penyusunan semula kementerian yang berkuat kuasa 1 Mei 2020. Oleh itu, peruntukan daripada KPLB bagi projek tersebut telah diturunkan kepada pihak Pengurusan GIATMARA Negeri Selangor bagi melaksanakan sepenuhnya projek.

    Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan hanya diberi tanggungjawab untuk menyediakan dan mengenal pasti senarai nama penerima atau Ketua Isi Rumah yang berkelayakan untuk menerima bantuan projek tersebut untuk dibuat tapisan ke peringkat kementerian. Kriteria penerima bantuan projek tersebut akan disaring oleh pihak kementerian iaitu akan diberi keutamaan kepada penghuni yang berstatus ibu tunggal, warga emas dan rumah bencana.

    Hasil daripada saringan yang telah dibuat oleh pihak kementerian, JAKOA Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan telah diperuntukkan sebanyak empat (4) unit Bina Baru dan sepuluh (10) unit Baik Pulih. Senarai nama penerima bantuan mengikut pecahan kaum, DUN, parlimen dan daerah adalah seperti jadual terperinci di Lampiran A.

    JAKOA Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan GIATMARA Negeri Selangor bahawa kesemua projek pembinaan perumahan baru di perkampungan Orang Asli di Negeri Selangor bagi tahun 2020 ini, masih belum bermula disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa 18 Mac 2020. Namun, pemilihan kontraktor secara undian telah dilaksanakan pada 24 Jun 2020.

    Berdasarkan jadual terperinci di lampiran, data menunjukkan empat belas (14) penerima bantuan untuk projek perumahan bina baru dan baik pulih di perkampungan Orang Asli. Pecahannya adalah seperti berikut:-

    1. Empat (4) penerima bantuan untuk bina baru yang terdiri daripada satu (1) bagi DUN Semenyih, parlimen Hulu Langat, dua (2) bagi DUN Hulu Bernam, parlimen Hulu Selangor dan satu (1) bagi DUN Dengkil, parlimen Sepang.

    2. Sepuluh (10) penerima bantuan untuk baik pulih yang terdiri daripada tiga (3) bagi DUN Batang Kali, parlimen Hulu Selangor, satu (1) bagi DUN Hulu Bernam, parlimen Hulu Selangor, satu (1) bagi DUN Tanjung Sepat, parlimen Sepang, dua (2) DUN Batu Caves, parlimen Selayang, dua (2) bagi DUN Sijangkang, parlimen Kuala Langat dan satu (1) bagi DUN Seri Kembangan, parlimen Petaling.

  2. Senaraikan peratus penghunian (occupancy rate) bagi projek yang telah siap.

    Status terkini projek pembinaan perumahan baru di perkampungan Orang Asli di Negeri Selangor bagi tahun 2020 yang diuruskan oleh pihak Pengurusan GIATMARA Negeri Selangor adalah pada tahap 0% seperti mana jawapan huraian yang telah dijelaskan bagi soalan a) di atas.

Lampiran

Tiada Lampiran.