Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

77) PEMBINAAN LOJI LANGAT 2

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan peratusan kerja bagi LRA Langat 2. Apakah kerja-kerja tertunggak?

    Berdasarkan laporan yang diterima daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), kemajuan kerja bagi Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 sehingga 31 Mei 2024 ialah 97.62% (Jadual) berbanding 97.10% (Sebenar). Daripada keseluruhan 25 pakej projek LRA Langat 2, terdapat 22 pakej telah disiapkan manakala baki 3 pakej masih di peringkat pembinaan. Pakej yang masih di peringkat pembinaan adalah seperti berikut:

    1. Pakej 3 – Tapak Pelupusan Enapcemar
    2. Sebahagian Pakej 15 (2) – Penyambungan di Lembah Jaya dan Taman Shamelin, Cheras, dan
    3. Pakej 16 – Penyambungan dan Pemasangan Paip Injap, Meter Alir dan Lain-Lain Kerja Berkaitan.

    Air Selangor telah mengambil alih keseluruhan sistem agihan air terawat LRA Langat 2 Koridor Barat (agihan air ke Wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat) pada April 2024 dan mengambil alih sebahagian daripada sistem agihan LRA Langat 2 Koridor Utara (agihan air ke Wilayah Gombak dan Kuala Lumpur) pada Mac 2024 dan Ogos 2024. Setakat ini, kapasiti boleh agih LRA Langat 2 adalah 1,016 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti reka bentuk 1,130 JLH.

Lampiran

Tiada Lampiran.