Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
305) PEMBINAAN LEBUHRAYA MEX 2
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan negeri kepada kerajaan pusat berkenaan pembinaan Lebuhraya MEX 2 yang masih tergendala setelah sekian lama dan merencatkan pemandangan dan pencemaran dari Cyberjaya sehingga ke Dengkil?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pembinaan projek lebuhraya MEX 2 ini merupakan sebuah projek yang dilaksanakan secara penswastaan yang dikawal selia oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di mana pihak syarikat konsesi bertanggungjawab terhadap pembiayaan projek dan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tanpa melibatkan implikasi kos kepada pihak Kerajaan.
Merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Projek Infrastruktur Utama Negeri Selangor Bil. 3/2024 yang diadakan pada 19 Disember 2024, kemajuan projek dan aktiviti di tapak yang dilaporkan adalah sebanyak 89.00% berbanding dengan jadual yang sepatutnya sebanyak 100.00%. Peratus perbezaan adalah sebanyak -11.00%.
Projek pembinaan lebuhraya MEX 2 ini tidak dapat disiapkan disebabkan isu default syarikat konsesi berkuatkuasa 3 Januari 2022 dan telah diambil alih oleh pihak pemegang sukuk melalui Receivers & Managers (R&M) yang dilantik iaitu BDO Consulting Sdn. Bhd.
Pihak pemegang sukuk telah melantik R&M iaitu BDO Consulting Sdn. Bhd. bagi menyediakan cadangan untuk menyiapkan baki kerja-kerja pembinaan Lebuhraya MEX2. Susulan mesyuarat bersama Kementerian Kewangan yang diadakan pada 30 Julai 2024 telah memutuskan supaya pihak R&M mengemukakan cadangan penstrukturan yang baharu kepada pihak UKAS pada 13 September 2024. Cadangan penstrukturan dan cadangan menyiapkan baki MEX 2 sedang diteliti diperingkat Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.