Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
233) PEMBINAAN LEBUHRAYA
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar Kerajaan untuk meluluskan pembinaan Lebuhraya yang melibatkan tanah di Selangor?
Pembinaan lebuhraya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Jadual Kesembilan Senarai I – Senarai Persekutuan). Walau bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam hal ehwal tanah dan pengurusan Kerajaan Tempatan (Jadual Kesembilan Senarai II
– Senarai Negeri) serta perimbangan kuasa antara Persekutuan dan Negeri dalam hal perancangan bandar dan desa (Jadual Kesembilan Senarai III – Senarai Bersama) .
Berdasarkan peruntukan kuasa yang diberikan, Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 1/2015 bertarikh 12 Februari 2015 telah membuat ketetapan supaya projek-projek pembangunan infrastruktur seperti pembinaan lebuhraya, LRT, MRT, Rel Berkelajuan Tinggi, Talian Voltan Tinggi, Janakuasa dan lain-lain projek yang berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar serta penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Perancang Negeri di bawah Seksyen 20(A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Sehubungan dengan itu, tatacara yang digunapakai dalam mempertimbangkan dan meluluskan pembinaan lebuhraya di Selangor selepas tarikh tersebut dibuat melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri selaras dengan peruntukan Seksyen 20(A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Untuk makluman Y.B. sekalian, pelaksanaan proses rundingan ini dibuat melalui penurunan kuasa oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor (JPNS) kepada Jawatankuasa Teknikal – Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor (JKT-JPNS). JKT-JPNS akan menjalankan proses rundingan berdasarkan arahan EXCO-MTES, MMKN dan JPNS. Proses ini membolehkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengambil maklum dan menyelaras perkara-perkara dasar, peruntukan akta serta syarat-syarat teknikal yang perlu dipatuhi sebelum projek berkenaan dilaksanakan. Hasilnya, pembangunan yang dicadangkan akan dilaksanakan berdasarkan kepada perancangan keseluruhan serta memudahkan kerja-kerja penyelarasan fizikal kelak.
Antara perkara-perkara yang diambilkira dalam rundingan adalah seperti berikut:
- Jajaran laluan atau lokasi kemudahan yang mengambilkira faktor zoning, guna tanah, koridor pembangunan, penjanaan ekonomi, kemudahsampaian, kesan kepada alam sekitar, kesan sosial dan pemilikan tanah; dan
- Pematuhan kepada dasar, peruntukan akta, garis panduan, peraturan dan syarat-syarat teknikal semasa perancangan dan pelaksanaan
Setelah cadangan pembinaan diluluskan dan diperakukan oleh PBN, cadangan pembinaan perlu melalui proses-proses berkaitan dengan pemilikan atau pengambilan balik tanah serta syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh PBN dari semasa ke semasa.
-
Apakah syarat-syarat ("pre-condition") yang harus syarikat konsesi lebuhraya patuhi sebelum Kerajaan Selangor meluluskan pembinaan lebuhraya?
Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, dasar pembangunan berkualiti rakyat dipeduli akan tetap menjadi teras dalam setiap pembangunan di negeri Selangor. Kerajaan Negeri tidak pernah menolak sebarang pembangunan asalkan hasilnya dapat memberi keselesaan dan dapat dinikmati oleh rakyat. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan hanya mempertimbangkan permohonan bagi pelaksanaan mana-mana lebuhraya di Negeri Selangor dengan syarat-syarat seperti berikut:
- Kajian Impak Trafik (Traffic Impact Assesment – TIA) mestilah menguntungkan kepada pengguna lebuh raya dan juga penduduk sekitar dengan mengambil kira jajaran yang memberikan manfaat terbaik;
- Pendedahan kepada umum tentang kadar tol termasuklah cadangan kenaikannya dan juga kadar pulangan pelaburan (Return Of Investement – ROI); dan
- Pendedahan kepada umum ke atas perjanjian
Maka, mana-mana pihak yang terlibat dalam apa jua bentuk pembangunan di Negeri Selangor mestilah mematuhi setiap proses dan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan seumpamanya. Pematuhan kepada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan adalah sangat perlu supaya Kerajaan Negeri dapat mempertahankan rakyat daripada menerima masalah-masalah pencemaran, kesihatan, banjir, kemalangan dan sebagainya.
Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memberi penekanan dan mengambil langkah-langkah berikut:
- Perjanjian yang adil (tidak berat sebelah) iaitu, tidak memihak hanya kepada pemegang konsesi;
- Meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan;
- Memasukkan ke dalam perjanjian klausa penamatan awal (early termination clause) iaitu sekiranya pemegang konsesi telah mencapai projected profit bagi projek ini lebih awal dari tempoh konsesi tamat, maka perjanjian hendaklah ditamatkan lebih awal; dan
- Pra-syarat tambahan seperti perjanjian konsesi tidak terikat dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
-
Berapakah kelulusan telah diluluskan dalam tempoh tahun 2008-Mei 2013 dan Jun 2013- kini?
Dalam tempoh bermula tahun 2008 sehingga kini, sebanyak tujuh (7) lebuhraya telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan pembinaannya. Secara umumnya, Kerajaan Negeri hanya memberikan kelulusan secara dasar terhadap jajaran lebuhraya yang dicadangkan, pemantauan ke atas cadangan jajaran untuk dimasukkan ke dalam Rancangan Tempatan (RT) PBT yang terlibat, kelulusan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 serta pewartaan jajaran sebagai rizab jalan. Senarai tujuh (7) lebuhraya berkenaan adalah seperti yang dilampirkan.
SENARAI KELULUSAN PEMBINAAN LEBUHRAYA DI NEGERI SELANGOR OLEH KERAJAAN NEGERI
Kelulusan cadangan pembinaan lebuhraya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan (Jadual Kesembilan Senarai I – Senarai Persekutuan). Kerajaan Negeri hanya memberikan kelulusan secara dasar terhadap jajaran lebuhraya yang dicadangkan, pemantauan jajaran dalam Rancangan Tempatan (RT) Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat, kelulusan Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 dan pewartaan jajaran sebagai rizab jalan.
Senarai lebuhraya yang telah diberi kelulusan untuk dilaksanakan pembinaannya di negeri ini sejak tahun 2008 adalah seperti berikut:
1) Lebuhraya Pantai Barat (WCE)
- MMKN Ke 20/2005 yang diadakan pada 30 November 2005 secara dasar bersetuju dengan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
2) Lebuhraya Serdang – Kinrara – Putrajaya (SKIP)
- MMKN Ke 14/2012 pada 18 April 2012 dan disahkan oleh MMKN Ke 15/2012 pada 26 April 2012 telah meluluskan secara dasar Projek Penswastaan Lebuhraya Serdang-Kinrara-Putrajaya (SKIP) dan bersetuju dengan jajaran lebuhraya
3) Lebuhraya Damansara – Shah Alam (DASH)
- MMKN Ke 15/2012 pada 26 April 2012 dan disahkan oleh MMKN Ke 16/2012 pada 2 Mei 2012 telah bersetuju bagi memasukkan jajaran Lebuhraya DASH ke dalam Pelan Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Untuk itu, pendengaran awam akan diadakan dan dipengerusikan oleh Y.B. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
- Berdasarkan keputusan MMKN berkenaan, kedua-dua jajaran telah pun dimasukkan dalam Rancangan Tempatan PBT yang
4) Lebuhraya Sg Besi – Ulu Kelang (SUKE)
- MMKN Ke 16/2012 pada 2 Mei 2012 dan disahkan oleh MMKN Ke 17/2012 pada 9 Mei 2012 telah bersetuju dengan Projek Lebuhraya Bertingkat SUKE kerana ia membawa impak positif kepada pembangunan
5) Lebuhraya East Klang Valley Expressway (EKVE)
- MMKN Ke 45/2014 pada 19 November 2014 dan disahkan oleh MMKN Ke 47/2014 pada 10 Disember 2014 telah menimbang dan bersetuju dengan jajaran jalan Fasa I Projek EKVE dan diwartakan sebagai Rizab Jalan (lebuhraya) serta hasil rumusan mesyuarat penyelarasan antara agensi yang diselaraskan oleh pihak JPBD Selangor pada 22 September 2014 perlu dipatuhi dalam melaksanakan projek ini.
6) Lebuhraya Putrajaya – KLIA (MEX2)
- MMKN Ke 3/2016 pada 20 Januari 2016 dan disahkan oleh MMKN 4/2016 pada 27 Januari 2016 telah bersetuju membenarkan Syarikat Konsesi MEX II memulakan kerja pembinaan di jajaran dalam Daerah Sepang dan Daerah Kuala Langat masing-masing setelah pengosongan tapak setinggan dibuat dan rundingan isu tapak yang menempatkan Rumah Pam
7) Lebuhraya Paroi-Senawang-KLIA-Salak Tinggi (SKLIA)
- MMKN Ke 7/2016 pada 24 Februari 2016 dan disahkan oleh MMKN Ke 8/2016 pada 2 Mac 2016 bersetuju dan mengesahkan jajaran Lebuhraya SKLIA Fasa 1 dengan penyelarasan penyambungan persimpangan (interchange) ke Jalan B48 dari Bandar Salak Tinggi ke Pekan Sepang bersekali dengan cadangan menaik taraf Jalan B48 oleh JKR