Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

148) PEMBINAAN KAWASAN PERUMAHAN ELIT

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Bakhtiar Bin Mohd Nor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah ada kajian terhadap kesan pembinaan taman-taman besar bertaraf elit kepada kampung-kampung tradisional? Jika ada, apakah hasil penemuannya

    Buat masa ini, belum ada kajian khusus yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri yang berfokus kepada kesan pembinaan taman-taman besar bertaraf elit ini kepada kampung-kampung tradisional di Selangor.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia@Selangor sedang melaksanakan Pelan Tindakan Khas (PTK) Penstrukturan Semula Kampung Dalam Bandar Negeri Selangor 2019 – 2023 yang mana ianya bertujuan untuk penstrukturan semula kawasan kampung di Negeri Selangor yang akan memfokuskan kepada 27 buah kampung dalam bandar yang terdapat di Negeri Selangor bagi memastikan perancangan, pembangunan dan pengurusan bagi setiap kampung di Negeri Selangor dapat dilaksanakan secara optimum dan holistik terutamanya ke arah mencapai gagasan Smart Selangor.

    Senarai 27 kampung yang terlibat dalam PTK adalah seperti berikut:

    DAERAH PETALING

    1. Batu 14, Puchong
    2. Baru Seri Kembangan
    3. Padang Jawa
    4. Sungai Kayu Ara

     

    DAERAH KLANG

    1. Pandamaran Jaya
    2. Raja Uda
    3. Telok Gudang
    4. Delek
    5. Padang Jawa
    6. Kuantan
    7. Sungai Pinang Bandar
    8. Rantau Panjang
    9. Baru Pandamaran
    10. Batu 4 Jalan Kapar
    11. Sungai Udang
    12. Meru
    13. Jawa
    14. Kg Bukit Naga

     

    DAERAH KUALA SELANGOR

    1. Sungai Kajang
    2. Assam Jawa

     

    DAERAH GOMBAK

    1. Laksamana
    2. Gombak Utara
    3. Selayang Baru

     

    DAERAH HULU SELANGOR

    1. Dato’ Harun (Melayu)

     

    DAERAH KUALA LANGAT

    1. Telok Panglima Garang
    2. Banting

     

    DAERAH HULU LANGAT

    1. Pandan Dalam
  2. Apakah ada usaha-usaha Kerajaan bagi menaikkan kampung-kampung tradisional supaya kawasan begini dapat dijadikan kawasan tumpuan pelancong dan juga dapat meningkatkan taraf ekonomi warga kampung seperti adanya kompleks kraftangan dari hasil-hasil orang kampung?

    Kerajaan Negeri komited untuk menyuntik dinamisme ekonomi, sosial dan keusahawanan supaya ianya boleh menjana masyarakat luar bandar yang maju dan berdaya saing. Bagi mencapai matlamat ini, program-program bersepadu yang bersesuaian telah dirangka dan akan dilaksanakan di Kampung Tradisi yang terpilih.

    Bagi tahun 2018/2019, satu program yang dinamakan sebagai Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor Pengusaha Sosial Kampung Kuantan, Kuala Selangor (SARANG) telah dicadangkan pelaksanaannya. Program ini dilengkapi dengan penyelidikan, pengumpulan dan analisa data peluang perniagaan termasuk pembentukkan serta galakan perniagaan sosial beserta pembinaan jenama dengan melibatkan penyertaan agensi-agensi yang berkaitan. Program ini dijangka akan disertai oleh 50 Usahawan Sosial dari Kampung Kuantan setelah melalui saringan yang teliti agar mereka yang terpilih menepati kriteria yang ditetapkan.

    Adalah diharapkan mereka yang terlibat ini kelak akan mampu membentuk atau meningkatkan usaha perniagaan yang lebih menarik dan berpotensi tinggi bagi pelancongan di Kampung Kuantan dengan pendekatan lebih menarik serta terancang. Dengan pelaksaan program ini juga, adalah diharapkan tarikan eko-pelancongan yang sedia ada iaitu kelip-kelip (termasuk peluang perniagaan yang berkaitannya) akan mendapat nafas baru dan penjenamaan semula untuk meningkatkan pendapatan penduduk kampung sehingga mampu untuk keluar dari garis kemiskinan semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.