Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

16) PEMBINAAN DAN MENAIKTARAF SISTEM SALIRAN DAN PERPARITAN OLEH PIHAK JKR, JPS DAN PBT

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menangani isu Red Tape dalam agensi-agensi kerajaan di peringkat Negeri terutamanya JKR, JPS dan PBT yang melibatkan masalah sistem saliran dan perparitan?

    Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan membuat penyelarasan menyeluruh dalam pembahagian tugas serta menyelaraskan inventori berkaitan bidang kuasa dan infrastruktur seperti jalan, longkang dan projek-projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pejabat Pembangunan Persekutuan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri Negeri Selangor serta turut akan melibatkan Kementerian Kewangan Malaysia dalam penyelarasan hal ehwal peruntukan agar tanggungjawab berkaitan infrastruktur dapat dilaksanakan segera serta menangani isu “Red Tape” dalam agensi-agensi Kerajaan Negeri.

  2. Apakah inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menyeragamkan kerja-kerja di antara agensi kerajaan seperti JPS, JKR dan MPK?

    Kerajaan Negeri sedang meneliti penyeragaman kerja terutama dari segi skop penyelenggaraan jalan dan perparitan. Kerajaan Negeri sedang menyelaras cadangan penyelenggaraan jalan diberi tanggungjawab kepada dua agensi iaitu JKR dan PBT bagi memastikan keberkesanan dan penyampaian perkhidmatan penyelanggaraan dapat ditingkatkan. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menyelaraskan semula parit dan saliran di bawah JPS, JKR dan PBT bagi menyelesaikan masalah pertindihan kawasan dan juga parit yang tidak diselenggara.

Lampiran

Tiada Lampiran.