Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
226) PEMBINAAN 64 BUAH RUMAH KOS RENDAH DAN 4 BUAH KEDAI KOS RENDAH UNTUK BEKAS PEKERJA LADANG SUNGAI BELATA HULU SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan atau keputusan dibuat oleh Kerajaan Negeri mengenai sekumpulan seramai 64 bekas pekerja ladang atau waris di Sungai Belata Hulu Selangor yang telah menurunkan tandatangan Perjanjian Jual Beli (S&P) dengan Tetuan Syarikat Lembah Beringin S/B anak Syarikat Land and General Bhd pada Tahun 2001, di mana Tetuan Syarikat Lembah Beringin berjanji akan membina 64 buah rumah teres kos rendah, 4 buah kedai kos rendah, kuil, dewan orang ramai, tapak kubur dan sekolah rendah?
Untuk makluman Yang Berhormat Telok Datok, Ladang Sungai Belata pada asalnya dimiliki oleh Cipta Ria Sdn. Bhd. dan dipindahmilik kepada Lembah Beringin Sdn. Bhd. pada tahun 1989 bagi projek pembangunan rumah pemilikan sendiri untuk 64 keluarga bekas pekerja Ladang Belata.
Pemaju Tetuan Land And General Berhad telah menandatangani Perjanjian Jual Beli pada tahun 2001 dengan 64 keluarga melibatkan pembinaan 64 buah rumah dan kemudahan lain seperti tapak kuil, tapak dewan, tapak sekolah tamil dan kubur di atas tanah seluas 12.30 ekar di Lot 486 (G.60995) Mukim Kerling Daerah Hulu Selangor.
Setelah projek ini lama tertangguh, Tetuan Clarity Crest Sdn. Bhd. yang juga merupakan pemilik baru telah mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang pada 13 Julai 2015. Permohonan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada 30 September 2015.
Untuk makluman Yang Berhormat Telok Datok juga, isu ini telah dibawa ke perhatian saya pada 30 Disember 2015 oleh pihak Jawatankuasa Bertindak Bekas Pekerja Ladang Sungai Belata.
Sehubungan itu, pada 13 Januari 2016, pejabat saya telah mengemukakan satu surat kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor untuk mendapatkan ulasan berhubung status projek pembinaan rumah Ladang Belata.
Pada surat bertarikh 3 Februari 2016, Tetuan Clarity Crest Sdn. Bhd. memohon untuk mendapatkan pengecualian bayaran caruman parit dan caj pembangunan dari Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).
Satu kertas EXCO Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah diangkat oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berhubung Rayuan Pengecualian Caj Pemajuan Bagi Permohonan Kebenaran Merancang Mengikut Seksyen 21 Akta 172 Bagi Tujuan Penyerahan dan Pemberimilikan Semula Tanah di Bawah Seksyen 204b (KTN) Bagi Cadangan Pembangunan 64 Unit Rumah Sesebuah (Penempatan Semula Pekerja Ladang) di atas hak milik GRN 60995 – Lot 486 Seluas 12.502 ekar, Mukim Kerling Untuk Tetuan Clarity Crest Sdn. Bhd.
Walau bagaimanapun, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah menimbang dan menolak Rayuan Pengecualian Caj Pemajuan Bagi Permohonan Kebenaran Merancang Mengikut Seksyen 21 Akta 172 Bagi Tujuan Penyerahan dan Pemberimilikan Semula Tanah di Bawah Seksyen 204b (KTN) Bagi Cadangan Pembangunan 64 Unit Rumah Sesebuah (Penempatan Semula Pekerja Ladang) di atas hak milik GRN 60995 – Lot 486 Seluas 12.502 ekar, Mukim Kerling Untuk Tetuan Clarity Crest Sdn. Bhd.
Mesyuarat susulan telah diadakan pada 3 Mei 2016 dan diputuskan untuk menangguhkan projek Ladang Belata sehingga isu bekas pekerja ladang diselesaikan. Pada 26 Mei 2016, Pejabat EXCO kami telah mengeluarkan surat rasmi bagi penangguhan projek tersebut kepada Majlis Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor.
Pejabat saya difahamkan bahawa satu demonstrasi telah dianjurkan oleh bekas pekerja-pekerja Ladang Belata di Pejabat Land And General Berhad pada bulan Disember 2016.
Pihak Land And General Berhad menulis surat ke pejabat kami untuk mengadakan mesyuarat bersama bekas pekerja-pekerja Ladang Belata melalui surat bertarikh 2 November 2016.
Pada 21 Mac 2017, mesyuarat susulan telah diadakan di pejabat saya yang dihadiri oleh semua pihak. Semasa mesyuarat tersebut, Land & General Sdn. Bhd. telah mengaku bahawa mereka adalah Syarikat Induk kepada Lembah Beringin Sdn Bhd dan telah diliquiditasi pada 2006. Difahamkan, Land & General Sdn. Bhd. bertanggungjawab dalam mengambil alih urusan kebajikan pekerja Ladang Sungai Belata di mana mereka mempunyai anak syarikat Clarity Crest Sdn Bhd yang menjalankan projek pembangunan di Daerah Hulu Selangor.
Land & General Sdn. Bhd. telah menyatakan tuntutan lot tapak asal tidak dapat ditunaikan kerana tapak tersebut telah terikat dengan pinjaman bank dan dikeveatkan oleh bank-bank lain serta beberapa pihak yang mempunyai kepentingan di atas tapak asal tersebut. Oleh yang demikian, Land & General Sdn. Bhd. telah menawarkan tapak baru Lot Bernombor 486 seluas 12.30 ekar untuk dibahagikan lot persendirian kepada 64 keluarga.
Walau bagaimanapun wakil pekerja Ladang Sungai Belata seramai 53 keluarga tidak setuju dengan tawaran tapak baru tetapi ingin mengadakan perbincangan dengan Land & General Sdn. Bhd. untuk mendapatkan solusi yang lebih komprehensif.
Mesyuarat telah memutuskan untuk menunda ke tarikh baru pada 11 April 2017 selepas Jawatan kuasa Wakil Pekerja Ladang Sungai Belata dan Syarikat Land & General Sdn. Bhd. bersetuju mengadakan mesyuarat bersama dan akan memberi keputusan perbincangan pada hari mesyuarat tersebut. Pada masa yang sama, Pejabat Daerah/Tanah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor mengemukakan status tanah terkini atas lot asal berserta dengan Pelan kebenaran Merancang bagi Lot 486 pada 11 April 2017. Sehingga kini, Pejabat EXCO kami masih menunggu keputusan mesyuarat oleh kedua-dua pihak.
-
Apakah pelan jangka masa panjang dan pendek Kerajaan Negeri bagi menarik pelabur asing masuk ke Selangor?