Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

191) Pembersihan Sungai Klang

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apa status projek Pembersihan Sungai Klang, setelah MBI diberi kelulusan untuk mengurus projek ini?

    Kerja-kerja pembersihan masih giat dilaksanakan di bawah projek SMG. Sehingga kini, statistik kutipan sampah mencatatkan penurunan sebanyak kira- kira 35% iaitu dengan purata sebanyak 1,400 tan sebulan yang dicatatkan pada tahun 2016 & 2017 kepada 900 tan sebulan pada masa kini. Beberapa inisiatif baru yang terangkum di dalam pembersihan seperti pelaksanaan program waste to fuel, aktiviti pertanian bandar (urban farming) dan pemasangan monopole bagi tujuan pemantauan dan keselamatan akan mula dilaksana menjelang separuh pertama 2021. Secara keseluruhannya, kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan telah berjaya mengawal isu pencemaran sampah di Sungai Klang.

  2. Berapa projek pembangunan yang berkaitan dengan projek ini telah bermula? Berapa pulangan yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri dibanding dengan Perbelanjaan?

    Pembangunan lima projek pemangkin sedang dilaksanakan dan ini akan mewujudkan satu ekosistem perniagaan yang baharu dan kondusif di kawasan-kawasan yang terlibat dan seterusnya akan mengangkat Sungai Klang sebagai kawasan tumpuan pembangunan dan pelancongan yang baharu di Selangor.

    Projek penambahbaikan Taman Awam Pangkalan Batu dan pembangunan Taman Rekreasi Mangrove Point telah mula dilaksanakan dan kedua-duanya dijangka siap masing-masing pada bulan Disember 2020 dan suku ke-2 2021. Selain dari itu, pembangunan projek Grand Bazaar (GB) di Tanjung Syawal, dan Cultural Village & Retreat Resort (CV) di Telok Pulai, Klang sedang dalam proses penilaian terperinci dan dijangka akan dimuktamadkan menjelang suku ke-2 2021.

    Dalam pada itu, pada bulan September 2020 yang lalu, pihak LLSB telah memeterai Perjanjian Pembangunan bagi membangunkan tanah seluas kira-kira 25 ekar di Seksyen 24, Shah Alam yang terletak di tepi Sungai Klang. Kerja-kerja perancangan akan dilaksanakan pada separuh pertama 2021 dan dikuti oleh kerja-kerja pembinaan menjelang separuh kedua 2021. Projek pembangunan ini dijangka akan mencetus tarikan baru dalam sektor hartanah dengan pembangunan berorientasikan sungai yang melibatkan pembinaan kira-kira 1,940 unit kediaman termasuklah 775 unit rumah mampu milik (40% daripada jumlah unit) dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar Minimum berjumlah RM827 juta.

    Sehingga kini, sebanyak kira-kira RM38.0 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri dalam bentuk pinjaman dan geran bagi projek SMG. Pulangan awal yang bakal dinikmati oleh Kerajaan Negeri adalah dalam bentuk nilaian premium sebanyak kira-kira RM70.0 juta bagi tanah di Seksyen 24, Shah Alam.

Lampiran

Tiada Lampiran.