Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
236) PEMBERSIHAN PASIR MENDAPAN DI SUNGAI AMPANG
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Agensi manakah yang perlu dirujuk bagi tujuan pembersihan dan pengeluaran mendapan pasir daripada Sungai Ampang?
Bagi tujuan pembersihan sungai seperti kerja-kerja cuci gali sungai dan tiada pengeluaran mendapan pasir, boleh merujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Manakala bagi tujuan pengeluaran mendapan pasir perlu merujuk kepada Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).
Selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah Dan Galian Selangor Bilangan 2/2015 Perkara 2.1 hingga 2.4:
- Pada masa ini semua permohonan pengeluaran permit bahan batuan (Borang 4C) bagi tujuan perlombongan pasir adalah melalui anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB);
- Permohonon ini meliputi semua kategori tanah hak milik, tanah yang memiliki Pajakan Melombong, Pajakan Kuari, tanah anak syarikat Kerajaan Negeri dan Tanah Kerajaan yang berkeluasan minimum 20 ekar;
- MMKN ke 14/2015 yang diadakan pada 23 April 2015 yang telah disahkan oleh MMKN ke 15/2015 pada 29 April 2015 telah menimbang dan meluluskan berkenaan Pindaan Bagi Garis Panduan Pengeluran Permit Bahan Batuan (Borang 4C) di Bawah Seksyen 72 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 bagi tujuan perlombongan pasir di atas tanah hak milik berkuat kuasa 1 April 2015 seperti syor:-
- 3.1. Pemilik tanah hak milik, Pajakan Melombong dan Pajakan Kuari yang ingin memohon pengeluaran permit bahan batuan (Borang 4C) bagi tujuan perlombongan dan pemindahan pasir boleh memohon terus kepada Pentadbir Tanah tanpa melalui Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB); dan
- 3.2. Bagi tanah-tanah anak syarikat Kerajaan Negeri dan Tanah Kerajaan, permohonan hendaklah dibuat melalui KSSB mengikut kaedah sedia ada.
- Mengikut Seksyen 70 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa untuk membenarkan apa-apa pemindahan bahan batuan daripada mana-mana tanah Kerajaan, hak milik, lombong dan rizab. Justeru, pemilik-pemilik tanah bagi tanah ini hendaklah mendapatkan kebenaran PBN bagi tujuan pemindahan bahan batuan.
Tatacara yang digunapakai adalah seperti berikut:-
- Semua permohonan dari pengusaha hendaklah dibuat melalui KSSB kepada PTD yang berkenaan. Permohonan dari pihak lain tidak boleh dipertimbangkan oleh PTD;
- Permohonan oleh KSSB kepada PTD berkenaan hendaklah menggunakan borang permohonan dan setiap permohonan hendaklah disertakan dengan dokumen dan pelan yang diperlukan;
- KSSB dan/atau PTD akan mendapatkan ulasan teknikal dari jabatan teknikal yang berkenaan. Jabatan teknikal yang berkenaan tidak dibenarkan untuk mengeluarkan ulasan kepada pihak lain kecuali KSSB dan PTD yang berkenaan;
- Jabatan teknikal yang terlibat adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja kerana aktiviti ini tidak melibatkan pengorekan atau pencucian pasir melainkan penapisan secara kering dan ianya berkenaan jalan keluar-masuk sahaja;
- Sekiranya terdapat aktiviti pencucian pasir dengan menggunakan air, ulasan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) adalah diperlukan;
- Jabatan teknikal diberikan masa selama dua (2) minggu untuk memberikan ulasan. Kegagalan mengemukakan ulasan dalam masa yang ditetapkan membolehkan PTD memproses permohonan tanpa mengambilkira ulasan dari jabatan teknikal yang berkenaan, selaras dengan arahan semasa Pihak Berkuasa Negeri; dan
- Setelah keputusan dibuat, PTD selanjutnya mengeluarkan permit untuk tempoh tidak lewat dari penghujung tahun kalendar.