Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
96) PEMBERSIHAN NEGERI
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan untuk meningkatkan taraf pembersihan di Negeri Selangor?
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 39/2021 yang diadakan pada 17 November 2021 dan disahkan oleh MMKN Ke 40/2021 pada
24 November 2021 telah bersetuju supaya Pelan Induk Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PISPPANS) dibangunkan dan tindakan-tindakan yang dirancang dilaksanakan bagi tempoh sepuluh tahun mulai dari tahun 2023 hingga 2032. PISPPANS adalah merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan taraf kebersihan di Negeri Selangor yang mampan secara seragam di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor.Berdasarkan kepada keputusan MMKN tersebut, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah melantik syarikat perunding bagi penyediaan PISPPANS pada 17 Mei 2022. Kini, syarikat perunding sedang giat melaksanakan analisis berdasarkan kepada maklumat yang diterima daripada pelbagai kategori pemegang taruh dan penduduk setempat untuk merangka PISPPANS. Hasil muktamad PISPPANS dijangka dapat dibentangkan kepada pihak Kerajaan Negeri pada bulan Mac 2023.
PISPPANS merangkumi inisiatif pengurusan sisa pepejal dan perbersihan awam seperti yang berikut:
- Pengurusan Sisa Pepejal termasuklah sisa pepejal perbandaran, sisa pembinaan dan perobohan, sisa institusi, komersial dan industri, sisa kebun dan lanskap, sisa klinikal dan sisa berbahaya;
- Pengurusan Pembersihan Awam mengambil kira kaedah pembersihan yang efektif, inisiatif meningkatkan kebersihan ke tahap yang lebih optimum, dan mewujudkan kawasan operasi PBT yang bersih;
- Pengurangan Sisa melalui 5R (refuse, reduce, reuse, recycle, recovery), ekonomi kitaran, Single Use Plastic Prevention, pendapatan daripada sisa, dan melaksanakan Extended Producer Responsibility (EPR);
- Inisiatif Teknologi Internet Of Things (IOT) iaitu mewujudkan sistem pengumpulan data berpusat di peringkat negeri dan mewujudkan aplikasi paparan data semasa;
- Pendidikan dan Kesedaran dengan mewujudkan program / kempen bagi setiap peringkat komuniti; mewujudkan pusat pendidikan atau pembelajaran bersepadu berkaitan sisa dan kebersihan dan memperkasakan kaedah hebahan, promosi dan siaraya di peringkat PBT;
- Pengiktirafan dengan mewujudkan pengiktirafan PBT bersih di peringkat negeri dan pengiktirafan kepada industri, bangunan komersial dan institusi yang melaksanakan dan mengamalkan inisiatif hijau;
- Peraturan dan Penguatkuasaan melalui pindaan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap PBT, mewujudkan piawaian dan Petunjuk Prestasi Utama untuk kebersihan bandar, mewujudkan polisi dan dasar yang seragam bagi pelaksanaan di peringkat premis institusi, komersial, industri dan kediaman serta menaik taraf gelaran Penyelia Kawasan kepada Penguatkuasa Kebersihan; dan
- Peningkatan Imej Kebersihan Negeri dengan mewujudkan kursus/ latihan yang bersesuaian kepada kakitangan dan operator pegendali sisa dan pembersihan serta menetapkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sebagai salah satu kriteria dalam penilaian Anugerah Pentadbiran Pejabat Cemerlang.
-
Apakah perancangan KDEB bagi meningkat mutu perkhidmatan pembersihan?
KDEBWM sentiasa komited untuk membantu Kerajaan Negeri meningkatkan mutu perkhidmatan pembersihan di negeri Selangor. Perkhidmatan pembersihan awam memerlukan kebergantungan yang tinggi kepada pekerja am kerana melibatkan kerja-kerja sapuan, pemotongan rumput, pembersihan longkang dan sebagainya. Perkhidmatan yang bersifat intensive labour centric ini dapat dipertingkatkan melalui penambahan lebih ramai pekerja-pekerja am untuk melaksanakan kerja-kerja ini.
Bagi kawasan-kawasan kritikal seperti pusat komersial dan sebagainya, KDEBWM mempunyai perancangan untuk menambah jumlah pekerja bagi membolehkan kerja-kerja yang dibuat secara manual ini dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisyen mengikut jadual yang telah ditetapkan. KDEBWM juga merancang untuk menambah kekerapan atau frekuensi perkhidmatan supaya kawasan yang diselenggara sentiasa kelihatan bersih dan kemas.
Walaubagaimanapun, kesemua perancangan ini melibatkan pertambahan kos yang perlu dikeluarkan oleh PBT kepada KDEBWM. KDEBWM telah memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Negeri dan sekiranya diluluskan, KDEBWM yakin mutu perkhidmatan pembersihan di negeri Selangor dapat dipertingkatkan ke aras yang lebih tinggi.
KDEBWM pada ketika ini memberikan tumpuan kepada aspek pemantauan bagi memastikan kontraktor melaksanakan kerja-kerja pembersihan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Selaras dengan kecanggihan teknologi dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), KDEBWM juga telah melancarkan aplikasi pintar yang dikenali sebagai i-Clear pada 29 Julai 2022 yang merupakan satu platform pelaporan digital dalaman yang digunakan oleh kontraktor dan Jabatan Operasi KDEBWM yang bertujuan untuk memantau pelaksanaan kerja-kerja pembersihan harian di lapangan. Melalui aplikasi i-Clear ini, setiap kontraktor perlu mengemukakan laporan kemajuan kerja harian (daily work progress report) berserta gambar-gambar kerja yang telah dilaksanakan yang akan disemak dan disahkan oleh Jabatan Operasi KDEBWM. KDEBWM percaya dengan pemantauan yang lebih sistematik akan membantu mempertingkatkan mutu perkhidmatan selain daripada penambahan jumlah pekerja yang merupakan kunci utama keberhasilan perkhidmatan pembersihan ini.