Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
89) PEMBERSIHAN AWAM
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Pengurusan pembersihan awam (sampah) telah diambil alih oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri sendiri yang mana sebelum ini diurus Alam Flora Sdn Bhd dan operator dilantik. Bagaimanakah prestasi semua PBT setakat ini dalam menguruskan pembersihan sampah?
Kebanyakan PBT di Negeri Selangor memberikan reaksi yang positif bahawa dapat menguruskan kerja-kerja pembersihan awam dan kutipan sampah dengan lebih baik dan teratur. Hal ini dimaklumkan oleh pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bahawa kerja-kerja di bawah seliaan pihak majlis adalah dalam keadaan yang terkawal. Walau bagaimanapun, pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyatakan bahawa terdapat kontraktor yang baru dilantik masih dalam proses mengenal kawasan menyebabkan beberapa kawasan yang tidak dapat dikutip sepenuhnya.
-
Adakah PBT bertaraf Majlis Daerah mampu menguruskannya?
Ya, semua PBT mampu melaksanakan dengan baik. Semua PBT bertaraf Majlis Daerah memberikan kenyataan yang sama bahawa mereka mempunyai kemampuan bagi melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam dengan sempurna. Sehubungan dengan itu, semua PBT bertaraf Majlis Daerah akan tetap terus berusaha bagi memantapkan segala urusan berkenaan.
-
Adakah strategi kewangan bagi membayar hutang kepada syarikat operator sampah yang tertunggak?
Pelbagai langkah dan strategi yang telah diambil oleh semua PBT bagi membayar tunggakan hutang yang tertunggak kepada syarikat kontraktor yang dilantik oleh pihak AFSB. Antara langkah yang dilakukan oleh pihak Majlis daerah Kuala Langat (MDKL) adalah dengan membuat pembayaran secara ansuran. Selain daripada itu, beberapa PBT telah merangka penjimatan dengan pelaksanaan kerja-kerja secara in-house. Hal demikian secara langsung membolehkan pembayaran tunggakan hutang dilangsaikan secara berperingkat.