Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
266) PEMBERIMILIKAN TANAH KERAJAAN NEGERI
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk melaksanakan dasar baharu dalam perihal Pemberimilikan Tanah Kerajaan kepada individu rakyat dengan membenarkan penerokaan di tanah-tanah Kerajaan ?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor setakat ini telah melaksanakan dasar pemberimilikan tanah mengikut pekeliling-pekeliling sedia ada. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan pekeliling-pekeliling seperti Pekeling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor Bilangan 6 Tahun 2011, “Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian di Negeri Selangor” dan juga Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bilangan 3 Tahun 2020, “Dasar Baharu Pemberimilikan Tanah Kerajaan di Negeri Selangor” untuk dijadikan panduan dalam pelaksanaan pemberimilikan tanah di Negeri Selangor.
Melalui pekeling-pekeliling ini, beberapa insentif telah diperkenalkan bagi memastikan pemohon-pemohon memperoleh hakmilik individu mengikuti aktiviti yang diusahakan. Antara insentif yang diberikan ialah;
- Kadar baharu premium bagi kadar nominal;
- Kadar premium baharu bagi kategori tanah pertanian yang melibatkan permohonan baharu dan permohonan melanjutkan tempoh pajakan;
- Takrifan pertalian keluarga bagi penentuan kadar premium nominal;
- Penentuan tempoh masa bagi tanah kerajaan yang telah diusahakan;
- Takrifan “usaha” bagi pertimbangan oleh Pentadbir Tanah melibatkan permohonan mengikut kategori pertanian dan kediaman;
- Kadar baharu premium khas yang dikenakan ke atas tanah-tanah kerajaan yang telah diusahakan sebelum permohonan dibuat;
- Peranan Penghulu bagi tujuan pengesahan yang melibatkan permohonan berkelompok;
- Sekatan kepentingan yang akan dikenakan bagi permohonan melibatkan kategori pertanian;
- Keluasan minimum bagi permohonan tapak kediaman dan pertanian;
- Penyeragaman borang permohonan dan senarai semak bagi permohonan pemberimilikan; dan
- Tempoh permohonan semula selepas Notis 5A tamat tempoh.
Disamping itu, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk membenarkan permohonan tanah-tanah kerajaan melainkan melalui permohonan-permohonan yang tertakluk kepada pekeliling-pekeliling sedia ada.