Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
271) PEMBERIMILIKAN TANAH KERAJAAN
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rasional Kerajaan Negeri menarik kembali keputusan pemberimilikan tanah kerajaan di Cyberjaya kepada anak syarikat Menteri Besar Selangor (Incorporated) MBI yang dijangka memberi pulangan sejumlah lebih RM360 juta?
MBI Selangor ditubuhkan di bawah Menteri Besar Selangor (Enakmen No. 3 Tahun 1994) pada 21 September 1994 dengan objektif mentadbir aset dan pelaburan Kerajaan Negeri dan untuk mewakili Negeri Selangor dalam kegiatan ekonomi dan perniagaan yang berada di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Pada dasarnya, MBI Selangor adalah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu aktiviti ekonomi dan sosial bagi pihak Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri adalah merupakan pemilik mutlak ke atas segala aset-aset yang dimilikinya dan akan sentiasa memastikan aset-aset yang dimilikinya mampu menjana pulangan pada kadar yang optimum bagi mengukuhkan status Selangor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan destinasi utama bagi pelaburan berkualiti di dalam Malaysia dan di rantau Asia.
Ini adalah selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang bertindak sebagai pelan rancangan pembangunan lima tahun menyeluruh bagi negeri Selangor. Pelan ini dirangka berpandukan strategi dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah Negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang tahun 2025. RS-1 ini juga selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 yang dibangunkan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Pembangunan ekonomi Selangor bergantung kepada dua kategori utama iaitu;
- Pembangunan berfokuskan sektor
- Mengenalpasti sektor pembangunan tinggi untuk terus dipertingkatkan dan dibangunkan;
- Mengenalpasti sektor baharu dan yang pesat membangun dengan potensi pertumbuhan tinggi; dan
- Mengukuhkan sektor strategik untuk menjaga kepentingan dan keselamatan Selangor, seperti jaminan makanan dan sembilan sektor fokus ekonomi iaitu pelabuhan dan logistik, ekonomi digital, elektrikal & elektronik dan mekanikal & kejuteraan, sains hayat, pelancongan, aeroangkasa, automotif, halal dan agroteknologi.
2. Pembangunan berfokuskan geografi
- Selangor menyasarkan pengagihan aktiviti ekonomi yang saksama di semua daerah untuk mencapai pengagihan kekayaan yang adil; dan
- Pembangunan berfokus geografi akan memberi tumpuan dan membuka peluang meneroka potensi dan nilai aset setempat selain menjana ekonomiyang lebih kukuh dan seimbang.