Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

273) PEMBERIMILIKAN TANAH KAMPUNG HAMID TUAH, TELOK GONG

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini pemberimilikan tanah peneroka asal di Kampung Hamid Tuah, Telok Gong?

    Yang Berhormat, isu pemberimilikan tanah Peneroka Asal di Kampung Hamid Tuah, Telok Gong melibatkan 233 lot tanah hakmilik yang telah diterokai. Daripada keseluruhan 233 lot terlibat, sebanyak 200 orang pemilik asal tanah (iaitu 86%) telah bersetuju menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri dan telah mendapat tanah ganti di Johan Setia. Tanah tersebut diberimilik kepada kumpulan peneroka yang telah dikenalpasti bagi tujuan pertanian. Manakala baki 33 lot lagi adalah melibatkan isu-isu seperti berikut:-

    1. Pemilik asal tidak bersetuju : 2
    2. Tidak dapat dikesan pemilik asal : 20
    • Dalam proses mendapatkan tanah ganti yang bersesuaian : 11
  2. Bilakah proses pemberimilikan tanah ini akan selesai sepenuhnya?

    Sepertimana Yang Berhormat maklum, bahawa isu pemilikan tanah di Kg. Hamid Tuah ini melibatkan tanah hakmilik iaitu antara pemilik berdaftar dan peneroka asal. Pejabat Daerah Klang menjalankan tugas sebagai moderator bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

    Penyelesaian sepenuhnya bagi isu pemberimilikan tanah ini adalah berdasarkan persetujuan oleh pemilik-pemilik asal tanah yang terlibat dan juga tanah-tanah kerajaan yang semakin terhad untuk ditawarkan sebagai tanah ganti.

    Terdapat pelbagai halangan yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu ini antaranya iaitu:-

     

    1. meyakinkan serta mendapatkan persetujuan oleh pemilik tanah untuk menyerahkan tanah;
    2. pemilik berdaftar yang tidak dapat dikesan serta tidak memberikan kerjasama;
    3. pemilik berdaftar yang tidak bersetuju dengan tanah ganti yang ditawarkan. Tanah-tanah kerajaan yang semakin terhad untuk ditawarkan sebagai tanah ganti merupakan salah satu halangan diturut dihadapi oleh Pentadbir Tanah.

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    TINDAKAN YANG TELAH DIAMBIL PENTADBIR TANAH BAGI MENGATASI HALANGAN.

    1. Pemilik asal tanah tidak bersetuju menyerahkan tanah dan yang tidak memberikan kerjasama.
      Tindakan : Pentadbir Tanah Klang telah mengadakan sesi taklimat kepada pemilik asal tanah untuk menjelaskan secara terperinci penyelesaian isu berhubung penerokaan tanah mereka dan tawaran tanah ganti oleh Kerajaan Negeri.  Bagi pemilik asal tanah yang masih enggan memberi kerjasama, Pentadbir Tanah Klang telah mengadakan sesi berasingan secara bersemuka bagi meyakinkan pemilik asal tanah untuk menyerahkan tanah serta menerima tawaran tanah ganti.

     

    1. Pemilik tidak dapat dikesan
      Tindakan : Pentadbir Tanah Klang terus berusaha mendapatkan maklumat pemilik asal tanah melalui cukai tanah dan geran tanah. Selain itu, maklumat semakan turut dilakukan melalui agensi/jabatan seperti di Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
  3. Apakah halangan yang dihadapi oleh pihak Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu ini?

    Sama seperti di sub(b).

Lampiran

Tiada Lampiran.