Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

256) PEMBERIAN SUNTIKAN VAKSIN COVID-19

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status pemberian suntikan vaksin COVID-19 di Selangor setakat ini?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan Sungai Pelek (N56) No.104 (a). Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, imuniti kelompok ialah keadaan penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu. Imuniti atau daya tahan diperoleh melalui program imunisasi.  Menurut World Health Organization (WHO), dianggarkan 60 hingga 70 peratus populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap penyakit Covid-19 bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dicapai dan penularan Covid-19 dapat dikawal. Dalam konteks Malaysia, anggaran 80 peratus rakyat perlu divaksinasi bagi mencapai tujuan ini.

     

    Anggaran 80% populasi yang berumur 18 tahun ke atas berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mensasarkan 4,749,449 penduduk Selangor perlu divaksin untuk mencapai Imuniti Kelompok.  Sehingga 18 Ogos 2021, seramai 4,343,223 (89.29%) warga Selangor telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin.

  2. Apakah langkah-langkah Kerajaan Selangor untuk mempercepatkan pemberian vaksin tersebut kepada rakyat Negeri Selangor mengikut sasaran yang telah ditetapkan?

    Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan daripada Sementa (N43) No. 194 (a), Bukit Melawati (N10) No. 198 (a), Bukit Gasing (N34) No.202 (b), Pandamaran (N47) No.246 (b), Sungai Panjang (N03) No.255 dan Rawang (N14) No.266 (a). Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri menyedari bahawa usaha bagi mencapai imuniti kelompok perlu dipercepatkan agar sektor sosial dan ekonomi dapat dibuka secara berperingkat.

     

    Justeru, Kerajaan Negeri melalui SELGATE Healthcare Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SELVAX). SELVAX yang bertujuan melengkapi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan melibatkan vaksinasi kepada 1.25 juta warga Selangor yang terdiri daripada 250,000 orang awam yang akan menerima vaksin secara percuma dan 1 juta pekerja sektor industri dan ekonomi.  Sehingga 22 Ogos 2021, bilangan dos vaksin yang telah disuntik bagi Program SELVAX Komuniti adalah sebanyak 224,880 dos. Bagi Program SELVAX Industri, bilangan dos vaksin yang telah disuntik sehingga 22 Ogos 2021 adalah sebanyak 142,719 dos daripada 750,000 dos yang diperuntukkan berdasarkan stok yang telah dibeli.

     

    SELVAX juga telah melaksanakan program vaksinasi secara walk in melalui kaedah pra-pendaftaran termasuk kepada warga asing bermula 3 sehingga 13 Ogos 2021. Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk melaksanakan program vaksinasi secara bergerak (mobile). Sasaran golongan penerima adalah mereka yang berada di capaian ke PPV terdekat dan golongan yang tercicir.

     

    Kerajaan Negeri juga telah bersama dalam program Operasi Lonjakan Kapasiti Vaksin di Lembah Klang yang telah bermula pada 26 Julai 2021. Melalui pelaksanaan program PICK dan SELVAX di Negeri Selangor, usaha bagi mencapai imuniti kelompok dapat dipercepatkan dan dijangka boleh dicapai menjelang bulan Oktober 2021.

Lampiran

Tiada Lampiran.