Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

245) PEMBERIAN AIR PERCUMA B40

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah akaun yang telah berdaftar dan berapa peratuskah penerima B40 sehingga kini?

    Sehingga bulan Ogos 2022, jumlah pengguna Negeri Selangor yang telah didaftarkan di bawah Skim Air Darul Ehsan (SADE) adalah sebanyak 273,303 pengguna.

     

    Namun demikian, jumlah keseluruhan penerima SADE adalah sebanyak 301,453 pengguna termasuk penduduk rumah pangsa kos rendah dalam kategori meter pukal yang secara automatik layak mendapat air percuma di bawah SADE iaitu sebanyak 57,403 akaun.

     

    Jumlah 301,453 in adalah bersamaan dengan 46.4% daripada 650,000 isi rumah yang dianggarkan terdiri dalam kategori B40 di Negeri Selangor oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020 melalui Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Dan Kemudahan Asas Mengikut Negeri Dan Daerah Pentadbiran Negeri Selangor 2019.

  2. Apakah justifikasi pemberian kepada golongan M40?

    Bermula 1 Oktober 2022, Kerajaan Negeri telah mengubah syarat kelayakan SADE dengan menaikkan had maksimum pendapatan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.

     

    Perubahan syarat ini telah mengambil kira kesan pandemik COVID-19 dan juga situasi semasa negara yang sedang berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan lonjakan inflasi terutamanya di Negeri Selangor. Kelonggaran ini diharapkan dapat membantu meringankan beban rakyat Negeri Selangor yang terkesan akibat kehilangan dan kekurangan punca pendapatan serta peningkatan kos sara hidup.

Lampiran

Tiada Lampiran.