Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

48) PEMBERHENTIAN PEKERJAAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan syarikat-syarikat yang memberhentikan pekerja akibat wabak Covid-19.

    Terdapat sebanyak 368 majikan yang terlibat dalam pemberhentian pekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18.03.2020 sehingga 30.06.2020.

  2. Apakah tindakan Kerajaan untuk menyelesaikan masalah pemberhentian pekerja?

    Pemberhentian Pekerja adalah hak majikan. Namun ianya adalah langkah terakhir majikan setelah melaksanakan tindakan-tindakan mengelakkan pemberhentian pekerja iaitu:-

    1. Membekukan pengambilan pekerja baru kecuali bagi bidang-bidang yang kritikal;
    2. Menghadkan kerja lebih masa;
    3. Menghadkan kerja pada hari rehat mingguan dan cuti am;
    4. Mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja giliran;
    5. Mengurangkan waktu bekerja harian;
    6. Mengadakan program latihan semula kepada pekerja;
    7. Mengenalpasti kerja-kerja alternatif dan pertukaran ke bahagian/kerja lain di dalam syarikat yang sama;
    8. Melaksanakan pemberhentian kerja sementara (lay-off) misalnya dalam bentuk penutupan sementara (temporary shut down) dengan menawarkan gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula. Jika majikan melaksanakan pemberhentian sementara, maklumat berapa lama tempoh pemberhentian sementara tersebut hendaklah dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk tujuan pemantauan sama ada pekerja tersebut diambil semula bekerja atau ditawarkan Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) atau pemberhentian tetap pada masa-masa hadapan; dan
    9. Mengurangkan gaji pekerja (Pay-Cut) yang dibuat secara adil di semua peringkat boleh juga dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain sudah dilaksanakan.

     

    Sekiranya pemberhentian pekerja tidak dapat dielakkan, pekerja-pekerja asing perlu ditamatkan terlebih dahulu. Sekiranya pemberhentian melibatkan pekerja tempatan, prinsip LIFO (last in first out) hendaklah dipatuhi. Walau bagaimanapun, prinsip ini boleh diketepikan sekiranya majikan mempunyai justifikasi kukuh. Majikan perlu melaporkan pemberhentian ini kepada Pejabat Tenaga Kerja yang terdekat, 30 hari sebelum tarikh pelaksanaan pemberhentian. Majikan boleh mendapatkan Garis Panduan Pemberhentian Pekerja di laman sesawang JTKSM (www.jtksm.mohr.gov.my).

    Selain itu, merujuk kepada sumber daripada Kementerian Kewangan Malaysia, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang menggariskan 3 matlamat iaitu lindungi rakyat, sokongan perniagaan dan perkukuh ekonomi. Secara tidak langsung ianya turut membantu majikan-majikan yang terjejas dengan Covid-19. (Sumber : Laman Rasmi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat di laman sesawang Kementerian Kewangan Malaysia).

Lampiran

Tiada Lampiran.