Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

261) PEMBERDAYAAN WANITA DAN KELUARGA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkasa wanita dan meningkatkan kesejahteraan keluarga?

    Antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkasa wanita dan meningkatkan kesejahteraan keluarga adalah melalui program berikut:

    i) Seminar Keluarga Negeri Selangor 2023

    Antara inisiatif yang telah dijalankan adalah Seminar Keluarga Negeri Selangor yang telah diadakan pada 21 September 2023. Dengan tema “Keluarga Akar Masyarakat”, seminar ini diadakan sebagai medium pemegang taruh dan pihak berkepentingan berkongsi mengenai isu dan cabaran serta mengutarakan cadangan, sumbangsaran serta pendekatan atau prakis yang efektif berkenaan pembangunan keluarga demi merealisasikan Negeri Selangor sebagai Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur.

    ii) Pusat Wanita Berdaya

    Pusat Wanita Berdaya atau lebih dikenali sebagai PWB, yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Komuniti Wanita (PKW) telah diwujudkan sejak tahun 2009 di lapan (8) DUN di Negeri Selangor sebagai medan bagi memberdaya dan menggalakkan wanita di sesebuah komuniti untuk bergiat aktif selain melaksanakan aktiviti yang boleh menjana pendapatan kepada komuniti tersebut.

    Bermula tahun 2010, PWB telah berjaya diwujudkan di kesemua 56 DUN di seluruh Negeri Selangor di mana 56 orang Penyelia PWB DUN telah dilantik dan mereka juga antara lain bertanggungjawab untuk membina kapasiti wanita dengan menganjurkan program latihan dan pendidikan berterusan dalam memberi kesedaran serta pemahaman kepada wanita di komuniti terhadap isu-isu gender dan hak asasi manusia.

    iii) Akademi Kepimpinan Wanita

    Akademi Kepimpinan Wanita (“AKW”) merupakan sebuah program yang ditubuhkan pada 19 September 2019, anjuran Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya (“PWB”) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (“PPAS”).

    Program AKW merupakan sebuah platform untuk memantapkan kemahiran kepimpinan dan bertindak sebagai ‘paip bakat’ (talent pipeline) dalam melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di dalam lapangan politik dan kerja sosial kemasyarakatan.

    Program AKW telah melahirkan seramai 248 graduan bagi Kohort 1, 2 dan 3 sejak program akademi ini dilaksanakan bermula tahun 2019 dan sehingga kini. Justeru, Selangor telah berjaya membuktikan kejayaan bagi wanita dalam memimpin masyarakat dan komuniti dengan baik bersesuaian dengan agenda sebagai sebuah smart state yang merangkumi peranan wanita dalam semua lapangan akan diperkukuhkan melalui dasar pemberdayaan yang progresif.

  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan pendidikan bagi wanita?

    Kerajaan Negeri melaksanakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH) anjuran Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan (Care Economy) Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS). PPSH telah dilaksanakan bermula tahun 2021 bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan dan pendidikan bagi wanita. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama rakan kongsi strategik yang terdiri daripada 2 buah universiti iaitu Open Universiti Malaysia (OUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    PPSH menawarkan biasiswa kepada wanita yang berkelayakan di Negeri Selangor untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD. Sehingga kini, dalam tempoh pelaksanaan PPSH untuk 2 Kohort, seramai 24 orang wanita telah menerima biasiswa PPSH dan sedang menjalani pengajian masing-masing di OUM dan UKM.

  3. Apakah program yang disediakan untuk mendukung keluarga berpendapatan rendah?

    Program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk mendukung keluarga berpendapatan rendah adalah pemberdayaan penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS). Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban kos sara hidup terutama mereka yang berpendapatan rendah bagi menampung keperluan kehidupan asas yang semakin mencabar pada masa kini. Menurut kajian daripada World Health Organization (WHO) dasar pemisah (exit policy) yang terbaik adalah selama 18 bulan. Justeru itu, dasar pemisah (exit policy) diperkenalkan bagi penerima bantuan BINGKAS untuk menggalakkan penerima memohon insentif lain yang ditawarkan Kerajaan Negeri bagi mengubah kehidupan mereka. Sebagai contoh, Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.