Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
130) PEMBELIAN VAKSIN OLEH KERAJAAN SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah pertimbangan dan asas-asas utama Kerajaan Selangor membeli vaksin dan tidak menunggu kuota vaksin yang patut diterima dari Kerajaan Pusat?
Dalam mendepani pandemik Covid-19, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu mengawal penularannya di kalangan komuniti. Ini termasuk usaha bagi meningkatkan kadar vaksinasi warga Selangor agar imuniti kelompok dapat segera dicapai dan seterusnya membolehkan rakyat meneruskan aktiviti sosial dan ekonomi.
Menyedari hakikat kepadatan penduduk dan bilangan industri serta kilang yang banyak di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri merasakan terdapat keperluan bagi melaksanakan program vaksinasi sendiri bagi mempercepatkan usaha tersebut. Lantas, pelaksanaan Program Vaksin Selangor (SELVAX) adalah bagi membantu dan melengkapi usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di samping melindungi tahap kesihatan ekonomi negeri yang terjejas teruk akibat penularan wabak pandemik Covid-19. Matlamat utama SELVAX adalah bagi membentuk perlindungan di kalangan golongan pekerja bagi memastikan kelangsungan ekonomi negeri. Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama agensi dan jabatan persekutuan dalam memastikan pelaksanaan PICK dan SELVAX di Negeri Selangor adalah seiring dan berupaya membantu mempercepatkan imuniti kelompok di Negeri Selangor.