Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
65) PEMBANGUNAN WANITA SELANGOR
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan dan pelan tindakan Kerajaan Selangor untuk membangunkan wanita muda?
Golongan wanita muda merupakan antara kumpulan masyarakat yang penting dan aset kepada sesebuah negara. Terdapat sejumlah 619,800 orang wanita muda di Negeri Selangor yang berumur antara 20 hingga 29 tahun. Jumlah ini menunjukkan potensi yang besar dalam kalangan wanita muda di negeri ini untuk dimanfaatkan demi pembangunan insan dan sosioekonomi
Kerajaan Negeri telah menetapkan satu Pelan Tindakan Wanita Selangor 2010- 2018 yang mempunyai misi Pemberdayaan Wanita Selangor ke arah pembinaan masyarakat madani yang merangkumi golongan wanita muda.
Objektif Misi Pemberdayaan Wanita Selangor adalah :
- membina jati diri wanita yang dinamik;
- memupuk sifat daya saing wanita;
- membangun sifat berperi kemanusiaan;
- mengembang ilmu yang diperlukan; dan
- melahirkan wanita yang berketerampilan dan berupaya mendorong individu sekeliling mereka ke arah menghayati prinsip-prinsip masyarakat
Dalam hal pemberdayaan wanita, usaha Kerajaan Negeri Selangor adalah meliputi:
- Peningkatan Tahap Kesihatan Wanita Selangor;
Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Mammogram Selangor (MammoSel) bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pengesanan awal terhadap kanser payudara. Seramai 23,592 orang telah menerima manfaat melalui program tersebut semenjak dilancar pada tahun 2010. Selain itu, tahap kesedaran wanita Selangor tentang bahaya kanser semakin meningkat seiring dengan program-program kempen yang telah dilakasanakan setiap tahun.
- Program Pengupayaan Pendidikan
Dalam kaitan diatas, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah peruntukan khusus bagi pengupayaan wanita dalam bidang pendidikan. Melalui program-program Pembangunan Wanita dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) maka ramai wanita Selangor kini lebih berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang pendidikan. Program-program yang dilaksanakan adalah dalam pelbagai bentuk antaranya melalui kempen- kempen kesedara dan advokasi, bengkel-bengkel latihan jangka panjang dan jangka pendek, seminar-seminar dan lain-lain lagi. Segenap lapisan wanita di Selangor akan dilibatkan dan tiada keciciran ini termasuklah wanita-wanita dari ladang.
- Penglibatan Wanita Dalam Keusahawanan
Kerajaan Negeri amat prihatin dan serius dalam meningkatkan bilangan wanita dalam bidang keusahawanan. Sehubungan itu, pelbagai program telah diperkenalkan bagi meningkatkan peluang wanita dalam membina perniagaan sendiri. Tidak kurang juga bantuan kewangan juga disediakan untuk wanita Selangor yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan dibawah Program Hijrah. Untuk makluman, seramai 15,072 orang adalah peserta wanita dari jumlah keseluruhan peserta seramai 24,628 orang peserta yang menyertai program tersebut.
-
Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Wanita Muda dan bagaimanakah Kerajaan Selangor dapat menolong mereka?
Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh golongan wanita muda masa kini, antaranya pengurusan keluarga dan kerjaya serta pengurusan ekonomi rumahtangga dalam situasi ekonomi yang kian mencabar
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah merangka pelbagai program berkaitan pada tahun ini bagi membantu golongan wanita muda mengurus kehidupan dengan lebih baik. Antara program yang telah dijalankan adalah:
Kempen HeForShe
Program kesedaran terhadap kesaksamaan gender di tempat kerja dan dalam institusi keluarga agar kedudukan wanita diiktiraf sesuai mengikut kemampuan dan kelayakan masing-masing.
Program Mammogram Selangor 2016
Program kesedaran melakukan pemeriksaan saringan payudara pada usia seawal 35 tahun bagi mencegah penyakit kanser payudara yang menjadi penyakit nombor satu dalam kalangan wanita di negara ini.
Malaysian Women Marathon 2016
Program kesihatan dan kecergasan untuk semua lapisan wanita bagi menggalakkan gaya hidup yang sihat.
Seminar Keluarga “Ke Arah Mahkamah Syariah yang Mesra Keluarga” Program dengan kerjasama Pertubuhan Wanita Ikram Malaysia memberi kesempatan kepada golongan wanita untuk mengetahui hak-hak mereka disamping memberi ilmu pengetahuan berkaitan tuntutan hak serta kes- kes berkaitan kekeluargaan yang melibatkan Mahkamah
Sambutan Hari Wanita Sedunia 2016
Sebagai satu platform penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan wanita di negeri Selangor yang diadakan saban tahun bersempena dengan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac.
Karnival Rose2Rose dan Walk4Humanity
Menggalakkan penyertaan aktiviti larian dan kekeluargaan dalam kalangan wanita dan keluarga di Negeri Selangor dengan kerjasama sebuah NGO, MyCare.
Diskusi Muslimah di bulan Ramadhan
Program keilmuan yang dijalankan sepanjang bulan Ramadhan di sembilan daerah di Selangor bagi melahirkan golongan wanita yang berilmu dan bersahsiah mulia.
Seminar Hak dan Keselamatan Kanak-kanak
Program yang memberikan ilmu pengetahuan berkenaan hak kanak- kanak serta langkah-langkah pencegahan dan keselamatan kanak-kanak yang penting untuk diambil perhatian oleh ibubapa serta para pengasuh taska.
Kursus Pengurusan Kewangan Berhemah
Kursus-kursus berkaitan pengurusan kewangan rumahtangga melalui Pusat Wanita Berdaya mendekati para wanita untuk mempersiapkan wanita di Selangor dengan kemahiran mengurus ekonomi rumahtangga.
Konvensyen Wanita Selangor 2016
Sebuah program yang mensasarkan peringkat pembuat keputusan dan pengurusan tertinggi syarikat serta organisasi di Negeri Selangor dalam melahirkan kepimpinan yang adil dan profesional dalam kalangan wanita.