Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
69) PEMBANGUNAN USAHAWAN DI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila senaraikan usaha Kerajaan Negeri secara terperinci (e.g. geran, bengkel, pengurangan cukai, pertandingan, skim, dll) bagi membantu golongan usahawan-usahawan di Negeri Selangor.
Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah dana setiap tahun bagi memperkasa dan melahirkan usahawan berjaya di Negeri Selangor. Permohonan ini adalah terbuka untuk semua kaum. Sebahagian permohonan bantuan ini diproses sepanjang tahun dan mengikut proses kelulusan. Untuk melayakkan usahawan menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri perusahaan mestilah telah beroperasi sekurang-kurangnya 3 bulan. Antara program sokongan dan bantuan keusahawanan yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)
Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini. Setiap daerah diperuntukan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00
- Klinik Usahawan Selangor
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan BPU, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.
- Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00. Pemberian berbentuk bantuan peralatan / mesin perniagaan berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Syarat permohonan telah dilonggarkan kepada tiga (3) bulan pengoperasian pada musim pandemik COVID19 bagi membantu rakyat menjalankan perniagaan.
Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 44 Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat agar keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi.
- Latihan Keusahawanan
Setiap tahun program latihan dijalankan oleh UPEN dan juga kerjasama bersama agensi. Latihan tersebut adalah seperti kursus kewangan, latihan pembangunan penjaja mikro dan latihan pembangunan usahawan. Kebanyakkan latihan dijalankan oleh agensi-agensi dan PBT seperti INSKEN, KOHIJRAH, PKNS BIZPOINT dan lain –lain.
- Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor (SITHAM)
Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan. Di samping itu, ianya dapat membantu usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana ekonomi. Program yang ditawarkan adalah latihan pengurusan merangkumi aspek pengurusan pemasaran dan kewangan, latihan kemahiran dan pembangunan, program inkubator bersama syarikat peneraju dan geran perniagaan.
Antara modul yang telah dirangka ialah latihan kemahiran bersama syarikat peneraju/mentor terpilih selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung kepada industri yang terpilih. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama HIJRAH Selangor.
- Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor
HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu terdapat beberapa program lain di bawah agensi ini seperti berikut:
- Skim Zero to Hero
Program ini merupakan pakej latihan dan bimbingan perniagaan oleh syarikat peneraju selama tiga (3) hingga enam (6) bulan. Ia menawarkan pakej dalam bidang perniagaan, pembuatan, pertanian, perikanan, peruncitan dan jualan atas talian.
- NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)
Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 sehingga RM5,000.00 khusus untuk wanita yang ingin memulakan perniagaan dalam kumpulan seramai 3 orang. Pembiayaan ditawarkan selama (3) hingga enam (6) bulan.
- GO Digital (Skim Pembiayaan Digitalisasi)
Skim ini ditawarkan kepada usahawan yang ingin menyertai platform digitalisasi perniagaan. Pinjaman di tawarkan sehingga RM5,000.00 dengan tempoh pembiayaan enam (6) bulan sehingga tiga (3) tahun.
- Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC)
Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu dan menggalakkan usahawan ke arah digitalisasi. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk:
- Selangor E-Ecommerce Education class
- Jelajah Usahawan Digital Selangor
- Selangor Digital Economy Convention
- Top E-Commerce Awards
- Selangor E-Bazar
- Selangor Accelerator Programme
- Selangor Fashion Accelerator
- Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC)
Selangor Industrial Corporation (SIC) juga turut menawarkan platform Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) bagi membantu IKS untuk menjual secara dalam talian. Platform ini juga turut menawarkan khidmat penghantaran di seluruh kawasan di Selangor.
- Platform Selangor (PLATS)
Platform ini merupakan platform promosi bagi usahawan di Selangor. Inisiatif ini dijalankan oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) semasa pandemik COVID19 bertujuan memberi peluang kepada peniaga dan penjaja yang menjual makanan bermasak semasa bulan ramadan. Selepas itu program ini diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Usahawan di seluruh Selangor juga diseru untuk menyertai platform ini dimana mereka akan dibantu untuk meningkatkan perniagaan ke arah digitalisasi. Capaian di peringkat akar umbi juga dijalankan dan bagi meningkatkan pemahaman dan pendaftaran ke platform PLATS, usahawan dibantu oleh Rakan Digital di setiap daerah untuk menyertai platform ini (onboard programe).
- Selangor Youth Community (SAY)
Jawatankuasa Tetap Pembanguan Usahawan Negeri Selangor telah bekerjasama dengan Selangor Youth Community (SAY) bagi penganjuran Liga Usahawan Selangor. Pada program ini usahawan akan dilatih sehingga boleh bersaing di pasaran terbuka. Liga ini terbahagi kepada dua (2) iaitu:
- Liga Usahawan OKU Selangor – SAY LEAD
Sasaran peserta ialah seramai 20 usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh Selangor. Peserta dibimbing oleh jurulatih dan mentor yang berpengalaman terhadap OKU. Antara modul yang diajar ialah:
- Sesi orientasidan business start-up;
- Business Model Canvas dan rancangan perniagaan;
- Asas penjenamaan dan pemasaran digital;
- Saluran pemasaran & pengurusan data pelanggan;
- Pengurusan asas kewangan;dan
- Bengkel bussines profil & pitching.
Peserta yang berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang akan berpeluang untuk menjalani beberapa sesi perniagaan seperti berikut:
- Rangkaian bersama agensi kerajaan (business matching);
- Perkongsian inisiatif yang ditawarkan oleh agensi seperti platform Shopee, Platform Selangor, Koperasi MYOKU, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT), geran dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) & pejabat daerah/tanah melalui geran blueprint dan Dana Usahawan Mikro Selangor;
- Peluang untuk menyertai ekspo dan pameran yang dianjurkan oleh agensi keusahawanan di Selangor;dan
- Berpeluang membentangkan perniagaan di hadapan DYTM Raja Muda Selangor dan dinobatkan sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor
Tiga (3) pemenang utama akan layak memasuki program SAY LEAD+. Ia merupakan setahun program bimbingan bersama mentor industri dan menerima geran perniagaan sebanyak RM3,000.00
- Liga Usahawan Eksport Selangor – SAY ASPIRE
Sasaran peserta ialah seramai 20 usahawan belia yang terdiri daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di seluruh Selangor. Usahawan akan dibimbing oleh jurulatih dan mentor yang pakar dalam industri eksport dan membawa produk ke negara luar. Antara modul yang dijalankan adalah:
- Market research & entry strategy
- Export management & requirement
- Export logistics management
- Trade financing
- Market promotions & tools
- Cross e-commerce & e-export
Peserta yang berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang akan berpeluang untuk menjalani beberapa sesi perniagaan seperti berikut:
- Rangkaian bersama agensi kerajaan (business matching);
- Perkongsian inisiatif yang ditawarkan oleh agensi seperti MATRADE, SME Corporation, Export and Import (EXIM) Bank dan MDEC;
- Berpeluang membentangkan ‘proposal eksport’ perniagaan di hadapan DYTM Raja Muda Selangor dan 3 pemenang utama akan memenangi tiket penerbangan pergi dan balik ke negara terpilih untuk tujuan eksport;dan
- Berpeluang untuk menyertai ekspo dan pameran antarabangsa yang dianjurkan oleh agensi keusahawanan di Selangor
- Pengecualian bayaran / fi lesen penjaja
Salah satu inisiatif penggalakkan untuk memulakan perniagaan adalah pengecualian bayaran /fi lesen penjaja. Langkah ini bagi membantu para penjaja untuk mengurangkan kos operasi di peringkat permulaan perniagaan.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai usaha bagi memantapkan ilmu usahawan dalam e-commerce dan pendigitalisasi ? Sekiranya ada, sila nyatakan secara terperinci.
Kerajaan Negeri melalui Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) telah menganjurkan Kelas E-Dagang sejak tahun 2015. Kelas E-Dagang yang kini dikenali di bawah program Selangor E-Commerce (EC) Education merupakan pemberian kemahiran (skilling), pelaksanaan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) untuk para peniaga yang menceburi bidang e-dagang buat pertama kali. Kelas ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja secara percuma.
Tahun ini, Selangor E-Commerce Education Programme tetap mendapat sambutan yang memberangsangkan. Sebanyak 1,023 peserta fizikal dan 7,030 peserta atas talian telah mengambil bahagian dalam kesemua 25 kelas yang telah dijalankan, menjangkau sasaran awal 1,000 peserta fizikal dan 5,000 peserta atas talian. Ini merupakan lonjakan sebanyak 25.5%.
Sebelum ini, SIDEC juga menganjurkan Kelas Masterclass E-Dagang (EC Masterclass) yang merupakan program latihan lanjutan untuk program kelas e-dagang dengan mensasarkan usahawan atau PKS yang sudah mempunyai perniagaan dalam e-dagang untuk meningkatkan lagi kemahiran dan perniagaan mereka.
Selain Selangor E-Commerce Education Programme, SIDEC juga menganjurkan Jelajah Usahawan Digital Selangor untuk memberikan pendedahan kepada warga Selangor mengenai dunia digital dan memberi khidmat bantuan serta dorongan kepada syarikat tempatan di Selangor yang ingin mula melibatkan diri dalam industri e-dagang.
Objektif program ini adalah untuk mempromosikan e-dagang dan pendigitalan dengan menjemput usahawan, PKS dan komuniti setempat di beberapa daerah di Selangor untuk mula mengadaptasi sekurang-kurangnya pendigitalan asas dalam perniagaan dan aktiviti perniagaan harian mereka seperti e-dagang, penghantaran makanan dan barangan serta pembayaran tanpa tunai.
Untuk tahun 2022, seramai 1,000 peserta disasarkan untuk menyertai program jelajah ini di mana setiap tempat atau kawasan, Sidec mensasarkan penyertaan seramai 200 orang peserta. Antara kawasan yang dipilih pada tahun ini adalah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling dan Klang.
Selangor E-Commerce Onboarding Programme pula merupakan kesinambungan daripada program Online 100 & Brands 100 yang membekalkan solusi penuh e-dagang dan sokongan kepada PKS untuk mengadaptasi dan menyertai (adoption dan onboarding) bidang digitalisasi dan e-dagang serta meningkatkan penjenamaan perniagaan atas talian melalui penyediaan kedai di laman web perniagaan sedia ada (webstore) dan pembangunan laman web e-dagang (website) yang lengkap dengan domain, cloud, hosting, shopping cart, dan payment gateway.
Program ini mensasarkan sebanyak 100 PKS dan usahawan Selangor pada tahun ini dengan syarat kelayakan iaitu 51% pegangan saham syarikat oleh rakyat Malaysia, syarikat yang beralamat atau beroperasi di Selangor, mempunyai pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan telah mempunyai produk fizikal.
Setakat 24 Ogos 2022, sebanyak 100 PKS telah berjaya mendapatkan dan memulakan perniagaan mereka secara atas talian melalui platform webstore (Shopee, Lazada dan Youbeli) dan laman web e-dagang sendiri yang lengkap dengan shopping cart, payment gateway dan website hosting diatas jenama atau perniagaan mereka sendiri.