Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
145) PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN IKS
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan membantu usahawan pasca COVID?
Usahawan di Negeri Selangor tidak terkecuali menerima tempias akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu akibat Covid19. Ini menyebabkan kebanyakan usahawan terkesan dari segi jualan yang merosot secara mendadak tanpa persediaan. Para usahawan perlu mencari kaedah yang sesuai dan melakukan anjakan paradigma dan maju ke hadapan mengadaptasi teknologi semasa yang mampu melonjakkan perniagaan tanpa mengira situasi yang berlaku. Jika dahulu mereka mengharapkan pelanggan datang ke kedai, namun kini mereka perlu mencapai pelanggan secara dalam talian.
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan telah menganjurkan siri kursus dengan kerjasama pihak Institut Keusahawanan Negara (INSKEN). Siri latihan ini merupakan satu kursus transfomasi perniagaan yang lengkap khusus kepada para usahawan untuk menghadapi perubahan arus perniagaan dan mengalami kemerosotan perniagaan akibat pandemik COVID19. Penyertaan kursus ini terbuka kepada usahawan sedia ada mahupun mereka yang ingin menambah pendapatan keluarga.
Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana setiap tahun bagi memperkasakan dan melahirkan usahawan berjaya di dalam Negeri Selangor. Sebahagian permohonan bantuan ini diproses sepanjang tahun dan mengikut proses kelulusan. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)
Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun, sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.
Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00.
2. Klinik Usahawan Selangor
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor yang diselia oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam menguruskan perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. Melalui Klinik Usahawan ini, Kerajaan Negeri dapat mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh usahawan, seterusnya menyarankan mereka untuk menyertai latihan-latihan yang dapat membantu meningkatkan kemahiran usahawan dalam menjalankan perniagaan.
3. Pensijilan Halal Negeri Selangor
Program dijalankan oleh Halal International Selangor (HIS) dengan kerjasama JAIS. Ia terbuka kepada usahawan yang ingin mendapatkan pensijilan halal produk dan meningkat daya saing dan pasaran produk.
4. Program Peningkatan Pembungkusan Produk
Program ini terbuka kepada usahawan yang ingin meningkatkan mutu pembungkusan dan bersedia menembusi pasar raya rantaian dan pasaran eksport. Usahawan yang terpilih akan diberikan pendedahan kepada keperluan teknikal, strategi penjenamaan, peraturan pembungkusan dan proses pelabelan barcode.
5. Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor
Hijrah Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Pembiayaan modal ini tidak membebankan penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal. Skim pinjaman yang ditawarkan di bawah agensi ini adalah seperti berikut:
- i-Bisnes
Pinjaman diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
- i-Bermusim
Pinjaman mikrokredit berbentuk kewangan sehingga RM20,000.00 kepada usahawan bermusim seperti perayaan dan musim buah-buahan.
- Skim Zero to Hero
Program ini merupakan pakej latihan dan bimbingan perniagaan oleh syarikat peneraju selama tiga (3) hingga enam (6) bulan. Ia menawarkan pakej dalam bidang perniagaan, pembuatan, pertanian, perikanan, peruncitan dan jualan dalam talian.
- NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)
Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 sehingga RM5,000.00 khusus untuk wanita yang ingin memulakan perniagaan dalam kumpulan seramai 3 orang. Pembiayaan ditawarkan selama (3) hingga enam (6) bulan.
- GO Digital (Skim Pembiayaan Digitalisasi)
Skim ini ditawarkan kepada usahawan yang ingin menyertai platform digitalisasi perniagaan. Pinjaman ditawarkan sehingga RM5,000.00 dengan tempoh pembiayaan enam (6) bulan sehingga tiga (3) tahun.
6. Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM)
Program ini meliputi pemberian geran peralatan, latihan dan program mentor perniagaan. Berikut merupakan perincian program di bawah SITHAM:
- Latihan Pembangunan (Pengurusan)
Siri latihan keusahawanan berbentuk pentadbiran perniagaan, pemasaran dan promosi serta pengurusan kewangan.
- Latihan Kemahiran (Skill/Pembuatan)
Siri latihan keusahawanan berbentuk kemahiran dan pembuatan.
- Program Getting Reach Own Way (GROW)
Program secara mentor dan menti di mana usahawan baharu dilatih oleh industry key-player.
- Dana Usahawan India Selangor (DUIS)
Pemberian bantuan barangan perniagaan/peralatan secara one-off.
-
Adakah Kerajaan Selangor bercadang memasukkan barangan IKS di dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER)?
Tujuan penganjuran Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) adalah untuk membantu rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah (B40) mendapatkan barangan asas dengan harga rendah dan berpatutan disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga barangan yang semakin meningkat.
Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) ini juga tertakluk kepada kos setiap barangan yang dipilih. Oleh itu, pada masa ini, tiada cadangan untuk tambahan produk IKS selain barang asas yang telah ditetapkan.
-
Berapa banyak premis perniagaan yang dibina oleh kerajaan antara 2020-2023 dan berapa jumlah keseluruhan dari 2008?
Jumlah keseluruhan premis perniagaan yang dibina oleh Kerajaan dari tahun 2008 – 2023 adalah sebanyak 5,971 unit. Perincian premis perniagaan yang dibina mengikut pecahan Pihak Berkuasa Tempatan adalah seperti berikut: