Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

4) PEMBANGUNAN USAHAWAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan semua inisiatif pembangunan usahawan yang terkini di Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dan agensi-agensi yang terlibat menyediakan pelbagai inisiatif keusahawanan bagi usahawan di Negeri Selangor. Antara inisiatif terkini yang disediakan adalah seperti berikut:

     

    1. Program Selangor 1000 Digital

    Penganjuran program ini dengan kerjasama SIDEC adalah untuk mendigitalisasikan usahawan di Negeri Selangor. Sehingga kini, sebanyak lima (5) daerah telah terlibat di dalam Program ini iaitu Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat dan Gombak dengan penyertaan 1,620 orang dari seluruh negeri Selangor.

     

    Melalui kempen ini, warga belia mendapat manfaat melalui penggunaan teknologi dan penyelesaian digital bagi meningkatkan potensi dan pendapatan usahawan melalui platform digital. Belia juga boleh dilatih untuk menjadi hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital.

     

    1. Program U-PLATS

    Program Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) merupakan program latihan yang ditawarkan di setiap kawasan mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mempersiapkan peniaga ke arah digitalisasi. Program U-PLATS menawarkan beberapa fasa dan modul khas seperti berikut :

    1. Fasa 1 memfokuskan kepada adaptasi digitalisasi dan penjanaan gandaan pendapatan. Di dalam fasa 1 juga, usahawan dididik untuk memastikan kewujudan perniagaan di dalam platform digital dan pembinaan kandungan kreatif seperti di tiktok untuk mengiklankan perniagaan mereka.
    2. Fasa 2 pula memfokuskan kepada perkemasan perniagaan sehingga mendapat pensijilan halal.
    3. Fasa 3 memfokuskan kepada “expand dan export” untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan membuka peluang pekerjaan.

     

    • Program Selangor Export Day

    Program ini dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memberi pendedahan kepada usahawan Selangor dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat pasaraya besar tempatan dan antarabangsa.

     

    Selain itu, program keusahawanan sedia ada yang dikekalkan adalah seperti berikut:

    1. Klinik Usahawan Selangor

    Penubuhan Klinik Usahawan Selangor yang diselia oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah bertujuan untuk memberi khidmat nasihat perniagaan dan bimbingan secara menyeluruh dan “one to one” kepada usahawan oleh barisan pakar yang dilantik dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Melalui Klinik Usahawan ini, Kerajaan Negeri dapat mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh usahawan, seterusnya menyarankan mereka untuk menyertai latihan-latihan yang dapat membantu meningkatkan kemahiran usahawan dalam menjalankan perniagaan.

     

    Bilangan usahawan yang telah mendapatkan bimbingan Klinik Usahawan Selangor bagi tahun 2024 adalah seramai 1000 orang. Selain itu, PKNS juga menyediakan program latihan pembangunan usahawan iaitu Program Bina Bangun Usahawan (BIZUP) dan Program Usahawan Siswazah (GROW).

     

    1. Program Liga Usahawan Selangor

    Program yang dijalankan dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) ini dilaksanakan merangkumi proses latihan dan penilaian. Liga Usahawan Selangor merangkumi dua (2) kategori yang memberi fokus kepada usahawan di Negeri Selangor yang mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pasaran rantaian dan pasaran eksport (SAY ASPIRE) dan usahawan kelainan upaya (SAY LEAD).

     

    Liga ini memberi peluang untuk mengenal pasti usahawan-usahawan berpotensi di Selangor agar dapat digilap sebagai usahawan contoh negeri Selangor. Di samping itu juga, program ini dapat membuka peluang bagi usahawan mendapatkan dana dari pelbagai pihak seperti Geran Kerajaan, “Angel investor”, pakej promosi dan bantuan-bantuan lain.

     

    • Program Peningkatan Pembungkusan Produk

    Program yang dijalankan bersama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) ini terbuka kepada usahawan yang ingin meningkatkan mutu pembungkusan produk dan bersedia menembusi pasar raya rantaian dan pasaran eksport. Usahawan yang terpilih diberikan pendedahan secara terpirinci berhubung keperluan teknikal, strategi penjenamaan, peraturan pembungkusan dan proses pelabelan barcode.

    Bagi tahun 2024, seramai 20 orang usahawan Negeri Selangor telah terpilih untuk mengikuti Program ini.

     

    1. Program Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas dalam bentuk mesin atau peralatan untuk membantu usahawan di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil pengeluaran produk dan jualan.

     

    Sebanyak RM2.4 juta telah diperuntukkan untuk program DUMS pada tahun 2024. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00.

     

    1. Program Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    Yayasan Hijrah Selangor (YHS) telah menyediakan pembiayaan mikro kredit sejak tahun 2015. Program ini bertujuan untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) yang menghadapi masalah kekurangan modal dan memerlukan peluang untuk mendapatkan dana tambahan. Pembiayaan mikro kredit ini terdiri daripada Skim iBisnes dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI), dengan kelulusan maksimum sehingga RM50,000.00, mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

     

    1. NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)

    Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 – RM50,000.00 khusus untuk wanita yang ingin memulakan perniagaan. Pembiayaan ditawarkan dalam tempoh enam (6) bulan sehingga tiga (3) tahun.

     

     

    1. Skim i-Bisnes

    Menawarkan modal tambahan berbentuk kewangan sehingga RM50,000.00 kepada individu yang sudah menjalankan aktiviti perniagaan bagi mengembangkan lagi perniagaan yang sudah diusahakan. Pembiayaan ditawarkan dalam tempoh sehingga lima (5) tahun.

     

    1. Ekspo/ Pameran Keusahawanan

    Salah satu inisiatif bagi mengembangkan lagi pasaran produk para usahawan di Negeri Selangor adalah melalui penyertaan dalam ekspo dan pameran di dalam dan luar negeri. Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor di ekspo/ pameran tempatan atau antarabangsa dalam memasarkan produk dan meningkatkan pendapatan.

    Antara ekspo yang telah disertai usahawan Negeri Selangor bagi tahun 2024 adalah seperti berikut:

    EKSPO BILANGAN USAHAWAN
    Expo Gulfood, Dubai (PKNS)

    4

    Expo International Food Expo, Kota Kinabalu Sabah (PKNS)

    14

    Karnival Raya 2024 (PKNS)

    16

    Global Sourcing Fair, Vietnam (PKNS)

    10

    Expo Seoul Food and Hotel, Korea (PKNS)

    10

    Expo Japan Food Expo (PKNS)

    10

    Expo Food and Drinks Malaysia by SIAL (PKNS)

    16

    Expo MIHAS di MITEC, Kuala Lumpur

    17

    China-Asean Expo (CAEXPO), Nanning China

    19

    Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Wilayah Tengah

    30

    Malaysia Fair di Tokyo, Jepun

    1

    JUMLAH

    147

  2. Adakah usaha kerajaan mencapai sasaran yang ditetapkan?

    Inisiatif/program pembangunan usahawan yang telah dilaksanakan  bertujuan untuk membangunkan dan meningkatkan daya saing usahawan Negeri Selangor di peringkat mikro, kecil dan sederhana. Antara impak yang telah diterima adalah seperti berikut:

     

    • Program Selangor 1000 Digital telah memberikan impak positif kepada para usahawan di Selangor. Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, 80% daripada 1,620 orang peserta melaporkan peningkatan penggunaan platform digital untuk menjalankan perniagaan mereka. Sebilangan peserta yang menggunakan kaedah seperti penstriman langsung berjaya meningkatkan pendapatan bulanan mereka antara RM500 hingga RM1,000​.

     

    • Program U-PLATS, khususnya dalam fasa 1 dan 2, telah menunjukkan kejayaan dalam meningkatkan pendapatan dan membantu usahawan menembusi pasaran digital. Program ini juga membantu usahawan dalam memperkemas operasi perniagaan dan memperoleh pensijilan halal.
  3. Senaraikan bilangan peserta bagi setiap inisiatif yang telah ditawarkan bagi tahun 2024.

    Bilangan peserta bagi setiap inisiatif bagi tahun 2024 adalah

    seperti berikut:

    INISIATIF/PROGRAM BILANGAN USAHAWAN
    Program Selangor 1000 Digital

    1620

    Program U-PLATS

    720

    Program Selangor Export Day

    305

    Klinik Usahawan Selangor

    1000

    Program Liga Usahawan Selangor

    40

    Program Peningkatan Pembungkusan Produk

    20

    Program Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS)

    104

    Program Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    2635

    Ekspo/ Pameran Keusahawanan

    147

    JUMLAH

    6591

Lampiran

Tiada Lampiran.