Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
53) PEMBANGUNAN USAHAWAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Kamri Bin Kamaruddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapa banyak program pembangunan usahawan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sepanjang tahun 2023 sehingga 2024?
Yang Berhormat, Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Menteri Besar Incorporated (MBI), SIDEC, Yayasan Hijrah Selangor, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Selangor Youth Community (SAY) dan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), PKNS telah melaksanakan sebanyak 53 program pembangunan usahawan sepanjang tahun 2023 sehingga Jun 2024. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Klinik Usahawan Selangor
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk memberi bimbingan secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan.
Program BPU PKNS bukan sahaja menumpukan pembangunan usahawan-usahawan dari kategori usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana, tetapi juga turut menjalankan program-program keusahawanan bermodul untuk pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah bagi membudayakan keusahawanan dalam kalangan peserta-peserta program. Program Perintis Usahawan (PPU) telah dilaksanakan sejak 2007 yang melibatkan pelajar dari sekolah rendah terpilih. Manakala Program Tunas Niaga (PROTUNe) telah dilaksanakan sejak 1998 yang melibatkan pelajar dari sekolah menengah terpilih.
- Ekspo/ Pameran Keusahawanan
Salah satu inisiatif bagi mengembangkan lagi pasaran produk para usahawan di Negeri Selangor adalah melalui penyertaan dalam ekspo dan pameran. Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor di ekspo/ pameran tempatan atau antarabangsa dalam memasarkan produk dan meningkatkan pendapatan.
- Program U-PLATS
Program Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) merupakan program latihan yang ditawarkan di setiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mempersiapkan peniaga ke arah digitalisasi. Program U-PLATS menawarkan beberapa fasa dan modul khas seperti berikut :
- Fasa 1 memfokuskan kepada adaptasi digitalisasi dan penjanaan gandaan pendapatan. Di dalam fasa 1 juga, usahawan dididik untuk memastikan kewujudan perniagaan di dalam platform digital dan pembinaan kandungan kreatif seperti di tiktok untuk mengiklankan perniagaan mereka.
- Fasa 2 pula memfokuskan kepada perkemasan perniagaan sehingga mendapat pensijilan halal.
- Fasa 3 memfokuskan kepada “expand dan export” untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan membuka peluang pekerjaan.
-
Apakah program bantuan kewangan usahawan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri?
Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan dan melahirkan usahawan berjaya di dalam Negeri Selangor merentasi semua sektor termasuk bidang teknologi. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS)
Geran berbentuk pemberian peralatan/mesin ini diberikan kepada usahawan melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor untuk membantu dalam meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.
- Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor
Kerajaan Negeri melalui Yayasan Hijrah Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu terdapat beberapa program lain di bawah agensi ini seperti berikut:
- NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)
Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 – RM50,000.00 khusus untuk wanita yang ingin memulakan perniagaan. Pembiayaan ditawarkan dalam tempoh enam (6) bulan sehingga tiga (3) tahun.
- Skim i-Bisnes
Menawarkan modal tambahan berbentuk kewangan sehingga RM50,000.00 kepada individu yang sudah menjalankan aktiviti perniagaan bagi mengembangkan lagi perniagaan yang sudah diusahakan. Pembiayaan ditawarkan dalam tempoh sehingga lima (5) tahun.
iii. PLATS Biaya
Kerajaan Negeri melalui MBI PLATS turut menawarkan satu pembiayaan bersubsidi untuk usahawan PLATS bernilai RM3000 bagi memastikan peniaga meningkatkan perniagaan ke arah inovasi dan keusahawanan di Selangor.