Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

46) PEMBANGUNAN TERBENGKALAI

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang akan diambil atas pembangunan yang terbengalai lebih daripada 20 tahun di hadapan Pusat Beli Belah Damen yang terletak antara Persiaran Subang Permai dan Persiaran Kewajipan?

    MPSJ telah mengambil tindakan ke atas pembangunan yang terbengkalai lebih 20 tahun di hadapan Pusat Beli Belah Damen seperti berikut:

    1. Jawatankuasa Kecil Projek Terbengkalai dan Pembangunan Bermasalah MPSJ telah membincangkan masalah projek terbengkalai oleh pemaju Perumahan Chianion Sdn. Bhd. di Persimpangan USJ 1, Off Jalan Kewajipan, Subang Jaya sejak tahun 2012 lagi memandangkan projek ini telah terbengkalai kira-kira 30 tahun dan menjadi ‘eyesore’ serta mempunyai ancaman keselamatan kepada orang awam.
    2. Jabatan Insolvensi Malaysia memaklumkan syarikat milik pemaju berkaitan telah digulungkan pada 25 Januari 2012 dan Pang Fee Yoon telah dilantik sebagai pelikuidasi oleh Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam pada 7 Januari 2009. Mahkamah tersebut juga memerintahkan pelikuidasi berkenaan mencairkan aset pemaju berkaitan.
    3. Seterusnya Jabatan Insolvensi Malaysia menerusi surat bertarikh 17 Julai 2012 telah memohon supaya proses likuidasi ditangguhkan kerana terdapat kes tuntutan di antara pemilik-pemilik  yang masih berlangsung di peringkat mahkamah ketika itu bagi menyelesaikan masalah berkaitan isu pemilikan sebenar projek ini.
    4. Oleh kerana tiada jalan penyelesaian berikutan tiada kerjasama dari pelikuidasi dan wakil syarikat berkenaan, pihak MPSJ melalui jawatankuasa berkenaan telah mencadangkan rampasan tanah pembangunan tersebut dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD).
    5. Namun demikian, PTD memaklumkan tindakan rampasan tidak dapat dilaksanakan kerana pemaju membayar cukai tanah setiap tahun menyebabkan tiada asas untuk PTD membuat rampasan.
    6. Terkini, Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Projek Terbengkalai Dan Bangunan Bermasalah MPSJ Bil.2/2018 yang diadakan pada 13 Ogos 2018 telah memutuskan suatu mesyuarat penyelarasan diadakan bagi membincangkan isu ini bersama Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTG), pemaju, Ahli Majlis serta Jabatan-jabatan teknikal dalaman MPSJ untuk meneruskan tindakan perampasan tanah tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.