Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

144) PEMBANGUNAN TENAGA HIJAU

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan penggunaan tenaga hijau, seperti tenaga solar atau hidro, dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional?

    Kerajaan Negeri akan terus menggalakkan Jabatan dan Agensi serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meningkatkan penggunaan tenaga hijau dalam mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.  Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memasang panel solar di bangunan milik kerajaan negeri, termasuk Jabatan/Agensi negeri, PBT, masjid dan surau. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan jejak karbon bagi menangani kesan perubahan iklim.

     

    Antara perancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penggunaan tenaga hijau adalah seperti berikut:

     

    • Kerajaan Negeri Selangor sedang meneroka sumber tenaga baharu untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi tenaga bersih. Selain tenaga solar, Selangor kini bersedia untuk mengembangkan ekonomi tenaga hijau melalui pembinaan loji janakuasa hidro, mobiliti rendah karbon, tenaga hidrogen, biogas, Waste-to-Energy (WTE), dan Battery Energy Storage Solution (BESS). Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama syarikat subsidiari kerajaan negeri seperti Worldwide Holdings Berhad (WHB), Pengurusan Air Selangor, dan Menteri Besar Incorporated (MBI) bagi memastikan pembangunan tenaga bersih yang mampan;

     

    • Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi WHB juga kini sedang menyediakan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hijau Negeri Selangor (SAGE) yang menggariskan strategi berimpak tinggi dalam usaha ke arah peralihan tenaga untuk mencapai sasaran pelepasan GHG sifar bersih. SAGE akan melibatkan pelaburan Anak Syarikat Kerajaan Negeri untuk membina kapasiti penjanaan hijau dan vektor tenaga, infrastruktur grid/agihan serta penstoran tenaga;

     

    • Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan projek Waste-to-Energy (WtE) sebagai langkah pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan dan efisien. Antara cadangan dan projek utama yang sedang dijalankan adalah sepetri berikut:

     

    • Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (Integrated Solid Waste Management Centre – ISWMC) di Jeram, Kuala Selangor. Ia direka untuk memproses sehingga 3,000 tan sisa pepejal setiap hari dan mampu menjana sekitar 52 megawatt (MW) tenaga elektrik; dan
    • ISWMC Tanjung Dua Belas, Kuala Langat yang dirancang untuk memproses sekitar 1,800 tan sisa pepejal harian dan menghasilkan kira-kira 38 MW tenaga elektrik.

     

    Kerajaan Negeri akan mempergiatkan kempen kesedaran dan program pendidikan untuk menggalakkan penggunaan produk teknologi hijau kepada komuniti, sektor swasta dan industri. Antara program galakan yang telah diadakan oleh Kerajaan Negeri adalah pemberian Geran Kecil Teknologi Hijau bernilai RM20,000 bagi setiap projek yang menfokuskan kepada projek pemasangan solar dan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) oleh komuniti di Negeri Selangor.

  2. Apakah insentif kerajaan negeri yang ditawarkan kepada pengusaha kilang dan usahawan yang melibatkan diri dalam bidang tenaga hijau?

    Setakat ini, tiada insentif khas untuk ditawarkan kepada pengusaha kilang dan usahawan yang melibatkan  diri  dalam  bidang  tenaga  hijau. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa insentif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi agensi-agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dalam menyokong penggunaan tenaga hijau seperti berikut:

     

    • Green Investment Tax Allowance (GITA) ialah insentif cukai yang diberikan oleh kerajaan Malaysia untuk menggalakkan pelaburan dalam teknologi hijau dan amalan mesra alam. Insentif ini ditawarkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi syarikat yang melabur dalam peralatan, aset, atau projek yang berkaitan dengan teknologi hijau. Syarikat yang melabur dalam aset hijau atau projek tenaga boleh baharu akan menerima elaun cukai sehingga 100% atas perbelanjaan modal yang layak.  Ianya juga boleh digunakan untuk menolak sehingga 70% daripada pendapatan bercukai syarikat.

     

    • Green Income Tax Exemption (GITE) iaitu pengecualian cukai pendapatan untuk syarikat yang menyediakan perkhidmatan teknologi hijau seperti tenaga solar, kecekapan tenaga dan pengurusan sisa.

     

    • Green Technology Financing Scheme (GTFS) iaitu bantuan pembiayaan untuk projek teknologi hijau.

Lampiran

Tiada Lampiran.