Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

135) PEMBANGUNAN TEKNOLOGI HIJAU

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Kerajaan Negeri Selangor bercadang bagi meningkatkan pelaburan-pelaburan hijau dan ekonomi hijau? Apakah langkah-langkah yang telah diambil?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2015 – 2018 telah diluluskan pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 28/2015 pada 2 September 2015.

    Di dalam pelan tindakan ini, Kerajaan Negeri telah menetapkan lima (5) sektor utama untuk diberikan tumpuan iaitu tenaga, pengangkutan, bangunan, pengurusan sisa dan air. Antara objektif pelaksanaan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor adalah seperti berikut;-

    • Meningkatkan pelaburan hijau dan ekonomi hijau Negeri Selangor;
    • Menerapkan budaya hijau bagi menambah baik kualiti dan gaya hidup rakyat;
    • Mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti alam sekitar;
    • Meningkatkan imej dan menjadikan Kerajaan Negeri Selangor sebagai negeri contoh yang mempelopori dan mengamalkan bidang teknologi hijau di Malaysia;

    Dalam meningkatkan pelaburan-pelaburan hijau dan ekonomi hijau, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada lima (5) sektor utama iaitu Elektrik & Elektronik (Electrical & Electronics), Peralatan Pengangkutan (Transport Equipment), Sains Hayat (Life Sciences), Makanan dan Minuman (Food & Beverages Industries) dan Mesin dan Peralatan (Machinery & Equipment).

    Seterusnya terdapat 8 tindakan utama di dalam Pelan Tindakan ini iaitu:-

    • Perbandaran Hijau Melalui Bandar Rendah Karbon Selangor;
    • Perolehan Hijau Kerajaan;
    • Pemasangan Rangkaian   Pengecas   Kenderaan   Elektrik    (Electric Vehicle) Di Selangor;
    • Penggunaan Kereta Elektrik Sebagai Kenderaan Rasmi Kerajaan Negeri Selangor;
    • Penggunaan Bas Elektrik Bagi Program ‘Bas Percuma’ Di PBT;
    • Pemasangan Bumbung Solar Bagi Projek Perumahan Selangorku;
    • Bangunan Cekap Tenaga Di Bangunan Kerajaan Negeri Selangor; dan
    • Program Penghijauan Taman
  2. Apakah inisiatif-inisiatif yang telah dilakukan dalam menjadikan Selangor negeri contoh yang mempelopori dan mengamalkan bidang teknologi hijau di Malaysia?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat juga, kesemua tindakan di dalam Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2015 – 2018 sedang giat dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor dan agensi berkaitan. Berikut adalah merupakan inisiatif Pembangunan Teknologi Hijau yang telah dilaksanakan di Negeri Selangor: –

    • Kerajaan Negeri melalui PBT telah menyediakan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon di peringkat PBT masing-masing
    • Menetapkan sasaran penurunan 30% karbon (CO2) menjelang 2030
    • Menaiktaraf produk berteknologi hijau seperti Solar, Sistem Penuaian Air Hujan dan Lampu LED
    • Melaksanakan kempen dan program seperti Car Free Day secara berterusan
    • Memasang 109 unit Pengecas Kenderaan Elektrik (ChargEv) di 88 lokasi di Negeri Selangor
    • Menawarkan Skim Rebat Cukai kepada pelaksaana agenda LCCF
    • Meletakkan elemen Low Carbon City Framework (LCCF) di dalam Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan dan Pelan Kejuruteraan dan Pelan Landkap sebagai syarat dalam permohonan
    • Pemasangan Bumbung Solar Bagi Projek Perumahan Selangorku Pangsapuri Puchong Utama
    • Bekerjasama dengan Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia dalam melaksanakan audit tenaga di 9 Pejabat Daerah dan Tanah di Negeri Selangor.

    Tambahan daripada itu, Kerajaan Negeri Selangor turut melaksanakan Geran Kecil Teknologi Hijau Tahun 2018 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai penggunaan teknologi hijau di dalam kehidupan seharian rakyat Negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.