Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
197) PEMBANGUNAN TEKNOLOGI 5G
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah pendekatan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan 5G di Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Smartsel Sdn Bhd dan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) sedang bekerjasama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi membantu melicinkan pelaksanaan pembangunan infrastruktur telekomunikasi 5G di Selangor. DNB merupakan pelaksana rangkaian 5G secara Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) di Malaysia. Untuk makluman Dewan, pelan pelaksanaan 5G di Negeri Selangor telah bermula pada tahun 2021 di Cyberjaya, Sepang. Pada tahun 2022 pelaksanaan diperluaskan di daerah Sepang, Petaling, Gombak, Klang dan Hulu Langat serta disusuli Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam pada tahun 2023 dan 2024.
Sejak suku pertama tahun 2022, Smartsel dan KUSEL telah mengadakan kerjasama dengan pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi pembangunan rangkaian 5G terutamanya di kawasan perindustrian, pelabuhan dan logistik. Langkah ini bagi meyakinkan para pelabur dari luar negara khususnya dalam penyediaan utiliti iaitu air, elektrik dan telekomunikasi di zon perindustrian oleh KNS.
Antara cabaran utama DNB dalam pembangunan rangkaian 5G di Selangor adalah tempoh proses kelulusan permohonan bagi mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) oleh Pihak Berkuasa Tempatan. KNS melalui Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT) telah mengeluarkan Garis Panduan untuk tidak perlu KM bagi infrastruktur berskala kecil (IBK), termasuk struktur rangkaian 5G yang berketinggian 18 meter dan 24 meter.
LAMPIRAN
Senarai PBT yang mematuhi Garis Panduan yang telah dikeluarkan oleh SPBT:
- Majlis Bandaraya Shah Alam
- Majlis Bandaraya Subang Jaya
- Majlis Perbandaran Klang
Senarai PBT yang tidak mematuhi Garis Panduan yang telah dikeluarkan oleh SPBT:
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya
- Majlis Perbandaran Sepang
- Majlis Perbandaran Kajang
- Majlis Perbandaran Selayang
- Majlis Perbandaran Kuala Selangor
- Majlis Perbandaran Kuala Langat
- Majlis Perbandaran Hulu Selangor
- Majlis Perbandaran Klang
- Majlis Daerah Sabak Bernam