Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

58) PEMBANGUNAN TARIAN SINGA

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah diambil oleh Kerajaan untuk membantu pembangunan tarian singa yang merupakan sukan dan kebudayaan negara kita?

    Kerajaan Negeri sedia maklum dengan kegiatan dan kebudayaan tarian singa yang merupakan salah satu sukan dan kebudayaan Negara kita. Bahkan, Kerajaan Negeri turut maklum di atas kejayaan kumpulan-kumpulan tarian singa dari Negeri Selangor ini yang telah memenangi beberapa kejohanan dunia serta mendapat pengiktirafan tertinggi dari segi kemahiran dan seni yang dipersembahkan. Sebagai contoh, pasukan tarian singa Khuan Loke Dragon and Lion Dance Association dari Petaling Jaya, Selangor, telah berjaya meraih pelbagai kejayaan termasuklah kejuaraan Piala Summit USJ dan menjadi juara Kejohanan Tarian Singa Sedunia sebanyak tiga kali serta pelbagai pencapaian lain dari pasukan-pasukan tarian singa di serata Negeri Selangor.

    Antara langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah menerusi program ‘Rentak Selangor’ yang bertujuan untuk mempromosikan kegiatan-kegiatan seni dan kebudayaan berasaskan muzik dan tari di kalangan masyarakat majmuk dalam Negeri Selangor termasuklah tarian singa. Program Rentak Selangor yang pertama kali dianjurkan pada tahun 2016 ini telah membawa media dari dalam dan luar negara ke bengkel Wang Seng Hang (WSH) Dragon & Lion Arts yang diasaskan oleh Master Siow Ho Phiew bertempat di Bandar Pinggiran Subang. Pada lawatan tersebut, delegasi dari kalangan pengamal media telah melihat dengan lebih dekat dan mendalam, kaedah pembuatan kostum dan kepala singa hasil buatan WSH Dragon & Lion Arts yang amat popular di dalam dan luar negara terutama bagi penggiat tarian singa di Hong Kong dan China. Pada masa yang sama, delegasi berpeluang melihat pertunjukan tarian singa dan sesi latihan oleh anak buah Master Siow yang terdiri daripada pelbagai kaum.

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan turut mengadakan program promosi berasaskan kraf yang memperkenalkan keistimewaan pembuatan kostum dan kepala singa ini melalui program Kembara Kraf Selangor (KKS). Program-program yang telah dilaksanakan ini, bertujuan selain daripada mempromosi dan memperkenalkan kepelbagaian budaya, kesenian dan keunikan masyarakat Negeri Selangor, program ini turut menyasarkan pulangan dari segi kemajuan perniagaan dan peluang kepada pengusaha-pengusaha dan penggiat seni kebudayan dan industri kraftangan negeri.

  2. Bilakah Kerajaan Negeri boleh memberi kemudahan latihan kepada pertubuhan-pertubuhan tarian singa di Selangor?

    Pada masa ini Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang perancangan program pembangunan khusus bagi sukan dan kebudayaan tarian singa. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan dan perkembangan seni budaya ini melalui penganjuran aktiviti dan program dengan kerjasama penggiat-penggiat seni dan kebudayaan bukan sahaja di kalangan penggiat tarian singa bahkan kepada semua seni dan budaya yang subur di dalam Negeri Selangor. Kerajaan Negeri juga sentiasa bersedia untuk mempertimbangkan permohonan-permohonan khusus bagi perlaksanaan aktiviti dan program kebudayaan daripada persatuan dan organisasi kebudayaan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.