Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013
205) PEMBANGUNAN TANAH-TANAH TERBIAR DI DUN DUSUN TUA
Tahun: 2013
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Memandangkan banyak tanah-tanah kerajaan negeri terbiar begitu lama terutama yang diberikan kepada PKPS khususnya di DUN Dusun Tua, Sila nyatakan apakah usaha-usaha kerajaan negeri untuk membantu membangunkan tanah-tanah terbiar sama ada milik individu atau milik kerajaan sepertimana yang tersebut.
) PKPS mempunyai beberapa keping tanah di DUN Dusun Tua. Tanah-tanah ini telah disewakan kepada individu dan syarikat luar untuk diusahakan dengan projek pertanian yang bersesuaian dengan keadaan tanah.
Perincian tanah-tanah tersebut adalah seperti berikut:
- i) Lot 13978 PN 79405, Lot 13980 PN 79407 dan Lot 13983 PN 79410,
Mukim Hulu Langat, Daerah Hulu Langat seluas 167.22 hektar
PKPS telah menandatangani perjanjian pajakan pada 11 April 2005 dengan pihak Serimba Agro Resources Sdn. Bhd. (SERIMBA) untuk pembangunan eko resort. Tanah-tanah ini telah terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2011. Bagaimanapun, sebahagian pengambilan tersebut telah ditarik balik oleh Kerajaan Negeri pada 5 April 2012.
SERIMBA telah menuntut bayaran ganti rugi kepada PKPS di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pembangunan yang telah dijalankan di atas tanah tersebut. Tuntutan tersebut dibuat atas alasan bahawa pengambilan balik tanah yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah tidak sah dan bertujuan untuk mencederakan kepentingan SERIMBA dalam perjanjian pajakan yang ditandatangani. Memandangkan bahawa pertikaian di antara SERIMBA, PKPS dan Kerajaan Negeri ini telah di bawa ke mahkamah dan prosiding perbicaraan belum selesai maka peguam PKPS menasihatkan supaya PKPS tidak memasuki tanah tersebut.
- PT 11588, HS(D) 140596, Mukim Hulu Langat, Daerah Hulu Langat seluas 16.05 hektar
PKPS telah menyewakan tanah tersebut kepada Okarr Sales & Marketing (OSM) pada 2 April 2007 untuk tujuan penanaman pisang. Walau bagaimanapun, projek tersebut sehingga kini tidak dijalankan oleh penyewa. Dalam hal ini, PKPS telah mengambil tindakan undang- undang ke atas OSM bagi mendapatkan semula tanah terlibat. Kes masih dalam mahkamah.
- PT 11589, HS(D) 140597, Mukim Hulu Langat, Daerah Hulu Langat seluas 6.357 hektar
PKPS telah pun menyewakan tanah tersebut kepada Encik Elias Bin Mohd. Jaini pada 1 Ogos 2012 selama tiga (3) tahun. Sehingga kini, PKPS tidak menghadapi sebarang masalah berhubung dengan penyewaan tersebut.