Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
292) PEMBANGUNAN TANAH & SUMBER ALAM
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri menguruskan sumber alam dengan mapan?
Kerajaan Negeri mengurus dan mentadbir sumber alam melalui pelbagai syarat-syarat khusus kepada syarikat pengkuarian dan perlombongan di Negeri Selangor antaranya:
- Setiap permohonan yang dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) perlu selaras dengan peruntukan undang-undang seperti Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, Kaedah Tanah Selangor (KTS) 2003, Enakmen Mineral (Selangor) 2000, Peraturan Mineral Selangor (PMS) 2007, Pekeliling serta Arahan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor.
- Setiap permohonan yang dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dikehendaki mendapatkan ulasan daripada agensi-agensi teknikal utama seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLAN Malaysia Selangor), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi lain yang berkaitan.
- Setiap pemegang permit akan dipantau pengeluaran sumber alam melalui Sistem Smart Docket Negeri Selangor dan kebenaran tempoh beroperasi yang lebih sesuai mengikut keadaan semasa.
-
Apakah langkah-langkah khusus yang diambil atau projek pemuliharaan yang dirancang untuk memastikan kelestarian sumber alam di DUN Selat Klang?
Langkah-langkah khusus yang diambil atau projek pemuliharaan yang dirancang untuk memastikan kelestarian sumber alam di DUN Selat Klang iaitu setiap operator pengkuarian dan perlombongan akan diwajibkan pengenaan deposit-deposit berkaitan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 74 (a) dan (b) Kanun Tanah Negara dan Enakmen Mineral Selangor (2000). Pengenaan deposit ini bertujuan supaya pemegang permit mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan bagi memastikan kawasan operasi tersebut dalam keadaan baik dan mendatangkan nilai kepada Pihak Berkuasa Negeri selepas aktiviti tersebut seperti:
- Deposit Pemulihan Tanah dengan mana permit itu ada kaitan apabila terhentinya permit itu. Deposit ini bertujuan pemulihan semula tanah bagi semua kategori tanah mengikut kegunaan asal tanah selaras dengan Seksyen 74 (b) KTN 1965. Dalam tempoh aktiviti kawasan pengkuarian tersebut hendaklah dibaikpulih mengikut fasa pembangunan pengkuarian sehingga ianya selesai/tamat dan boleh ditebus guna semula tanah tersebut untuk tujuan pembangunan akan datang. Kerajaan Negeri memandang dari sudut hasil ekonomi negeri sekaligus menjaga dan mengawal aktiviti pengkuarian yang mampan serta lestari kepada sumber alam sekitar.
- Deposit Infrastruktur dikenakan adalah sebagai jaminan kepada aktiviti pengkuarian yang lebih lestari kepada sumber alam sekitar supaya agensi-agensi teknikal berkaitan dapat memastikan aktiviti ini berkeadaan baik. Deposit ini bertujuan untuk memastikan keperluan agensi-agensi teknikal sekiranya terdapat isu-isu yang melibatkan infrastruktur daripada aktiviti pengkuarian ini seperti kerosakan jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) / jalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) / jalan Projek Luar Bandar (PLB), tebing tanah / sungai runtuh, kemalangan dan sebagainya yang difikirkan perlu oleh agensi teknikal berkaitan untuk membuat tuntutan.
- Deposit Pematuhan Syarat dikenakan kepada semua pemegang Teneman Mineral dan Permit Khas Mineral Negeri Selangor sesuai dengan peningkatan kepada permintaan bagi pasaran bahan mineral yang semakin meluas, yang mana ianya dilihat sebagai langkah yang paling wajar bagi mengawal dan mengelakkan ketidakpatuhan serta perlanggaran syarat-syarat yang ditetapkan dari semasa ke semasa sekaligus dapat menjaga nama baik dan imej Kerajaan Negeri Selangor yang sentiasa cakna dengan isu-isu sekitar yang berkait secara langsung atau tidak langsung dengan industri perlombongan dan penghasilan bahan mineral di Negeri Selangor.