Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

103) PEMBANGUNAN TANAH RIZAB MELAYU

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan untuk membangunkan tanah rizab melayu tanpa mengorbankan pemilikan individu?

    Perancangan Kerajaan untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu tanpa mengorbankan pemilikan individu adalah masih tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa. Mana-mana tanah yang diendorsekan di atas hak milik sebagai Tanah Rizab Melayu boleh dibangunkan, dipajak atau disewa tertakluk kepada sekatan di bawah Enakmen Rizab Melayu [NMB Bab 142] (Selangor) atau Malay Reservation Enactment [FMS Cap. 142] (As Applicable to the State of Selangor) tanpa mengorbankan sebarang kepentingan atau hak pemilik tanah tersebut.

  2. Apakah cadangan kerajaan untuk membantu pemilik lot lidi untuk mendapatkan hak pemilikan tanah?

    Kerajaan bersedia membantu pemilik lot lidi untuk mendapatkan hak pemilikan tanah. Justeru itu, Kerajaan mencadangkan agar pemilik-pemilik lot lidi ini dicadangkan untuk membuat permohonan tukar syarat bagi menukar kategori syarat dari ‘Pertanian’ kepada ‘Kediaman’ dan membuat permohonan pecah sempadan. Walau bagaimanapun, kelulusan permohonan tukar syarat dan pecah sempadan ini adalah tertakluk kepada prosedur dan peraturan yang berkuatkuasa.

  3. Apakah perancangan untuk membantu pembangunan infra awam di kawasan kampung yang kebanyakannya melalui tanah individu?

    Perancangan untuk membantu dalam pembangunan infra awam di kawasan kampung yang kebanyakannya melalui tanah individu adalah tertakluk kepada Dasar Kerajaan Negeri Selangor buat masa di mana sebarang pembangunan infra awam hendaklah di atas tanah Kerajaan atau mana-mana tanah hak milik Kerajaan Negeri Selangor sahaja.

Lampiran

Tiada Lampiran.