Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
37) PEMBANGUNAN TANAH LIMAS
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah penyelesaian kerajaan bagi isu permohonan tanah Kuil Kampung Sungai Dua yang bakal digunapakai untuk tujuan naiktaraf lebuhraya FT3209?
Jalan FT3209 adalah Jalan Persekutuan yang diselenggara oleh JKR Daerah Gombak dan menghubungkan Pekan Rawang ke persimpangan Rawang di Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara. Permohonan tanah kuil yang dimaksudkan adalah dari Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Kampung Sungai Dua Tambahan, Rawang. Untuk makluman Yang Berhormat, sebagai langkah peyelesaian oleh Kerajaan Negeri, kuil ini telah diberikan tapak ganti tidak jauh dari tapak asal yang dipohon.
Walau bagaimanapun, hasil semakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak dengan merujuk pelan asal yang disediakan mendapati sebahagian dari tapak ganti tersebut termasuk dalam laluan rentis TNB. Sehubungan itu, PDT Gombak akan mengemukakan pelan baharu dengan mengeluarkan kawasan yang terletak dalam rentis TNB tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan pewartaan kepada Pihak Berkuasa Negeri.
-
Nyatakan tanah yang telah diwartakan untuk kegunaan LIMAS di Parlimen Selayang yang masih boleh dipohon oleh persatuan penganut.
Dalam usaha memelihara kebajikan hal ehwal selain Islam secara umum, Kerajaan Negeri tidak menetapkan tapak tanah secara khusus mengikut agama bagi kegunaan rumah-rumah ibadat selain Islam. Sebaliknya, tanah kerajaan yang dirizabkan bagi tujuan bangunan keagamaan terbuka untuk dipohon oleh mana-mana persatuan agama yang memerlukan. Permohonan oleh persatuan agama boleh dikemukakan kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk dibawa bagi pertimbangan Jawatankuasa Khas LIMAS terlebih dahulu sebelum diperakui bagi tindakan pewartaan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk disempurnakan. Untuk makluman Yang Berhormat jua, tapak tanah kerajaan untuk kegunaan rumah ibadat diperolehi daripada pembangunan baharu, hasil dari serahan pemaju. Sehubungan itu semakan tapak RISI yang tersedia boleh diperolehi dari setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam Negeri Selangor.