Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

15) PEMBANGUNAN TANAH ANAK SYARIKAT NEGERI

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Tanah anak syarikat lebih bertumpu kepada pembangunan perumahan/industri/peniagaan. Adakah Kerajaan Negeri memberi arahan baru supaya tanah yang masih belum membangun digalakkan untuk pelaburan pertanian moden?

    Satu dasar baru pertanian iaitu Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bagi memajukan sektor pertanian dengan lebih teratur dan tersusun dengan memberi penekanan kepada pertanian yang mampu menghasilkan pulangan yang tinggi menerusi kaedah moden.

    MMKN telah memberi arahan agar tanah-tanah Kerajaan Negeri yang dikenalpasti akan diwartakan mengikut keperluan dan atas tujuan pertanian. Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) seperti MBI, PKPS, PKNS dan YS telah mengemukakan senarai tanah kepada Unit Pemodenan Pertanian Seksyen Makro dan Penswastaan UPEN Selangor.

    PNSB bertanggungjawab menguruskan Projek Pertanian Bersepadu di Sungai Rasa, Hulu Selangor semenjak tahun 1992.

    MBI dan PKPS bersetuju untuk berkolaborasi bagi melaksanakan Projek Pertanian Berteknologi Tinggi di bawah Pemantauan Exco Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani.

  2. Jika ada arahan baru, kawasan mana yang dikenalpasti? Jikalau tiada dasar yang baru, apakah sebabnya?

    Kolaborasi MBI dan PKPS bakal melibatkan tanah milik MBI di Batu 29, Batu Arang, Mukim Rawang, Daerah Gombak seluas 781.473 ekar.

Lampiran

Tiada Lampiran.