Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

1) PEMBANGUNAN TANAH

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk melindungi tanah rizab sungai di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS melaksanakan langkah untuk melindungi tanah rizab sungai negeri dengan menubuhkan zon perlindungan di bawah Seksyen 48(1), Enakmen LUAS 1999 yang bertujuan untuk menyelamatkan mana-mana sumber air termasuk tanah rizab sungai, takungan dan kawasan pantai yang sensitif kepada alam sekitar. Penubuhan zon perlindungan tersebut membolehkan LUAS membuat sekatan terhadap aktiviti di dalam kawasan yang diwartakan melalui perundingan dengan mana-mana pihak berkuasa awam. Sekatan-sekatan yang boleh dikenakan adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 48(5) (a) – (e), Enakmen LUAS 1999 iaitu antaranya ialah larangan atau pembatasan ke atas pembinaan mana-mana struktur atau pelaksanaan apa-apa kerja, penggunaan atau penyimpanan apa-apa bahan kimia termasuklah racun makhluk perosak atau baja dan pembuangan apa-apa kumbah atau bahan buangan.

    Kesemua aktiviti pembangunan samada sedia ada ataupun di dalam perancangan di dalam zon perlindungan tersebut adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang telah dinyatakan di dalam Warta dan perlu mendapatkan kebenaran daripada LUAS berserta syarat-syarat yang akan dikenakan. Melalui pewartaan ini juga, kawalan pembangunan terhadap apa-apa cadangan pembangunan baru yang melibatkan kilang-kilang, pertanian dan perumahan yang diterima oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor yang melibatkan pembangunan di dalam jarak 50 meter kiri dan 50 meter kanan dari tebing sungai akan dapat dikuatkuasakan oleh LUAS yang mana syarat-syarat khusus yang lebih ketat bagi menjaga kepentingan penjagaan sumber air sungai akan dikuatkuasakan bagi setiap permohonan yang diterima termasuklah pematuhan terhadap penyediaan rizab sungai yang secukupnya.

    Untuk makluman Yang Berhormat, tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah meliputi parit, sungai dan kolam takungan hendaklah dikekalkan dari sebarang kegunaan aktiviti-aktiviti lain kerana tanah rizab tersebut berfungsi untuk:

    1. Sebagai ruang untuk melebar dan melurus sungai pada masa hadapan.
    2. Sebagai ruang untuk kemudahan-kemudahan sungai seperti pembinaan benteng.
    3. Untuk bertindak sebagai kawasan dataran banjir.
    4. Untuk memelihara kestabilan tebing.
    5. Sebagai kawasan ‘buffer’ untuk mengawal hakisan.
    6. Untuk membenarkan sedikit hakisan berlaku dan perkembangan liku-liku sungai.
    7. Sebagai laluan masuk bagi menjalankan kerja-kerja pengendalian dan penyelenggaran.
    8. Sebagai ruang untuk tempat penyimpanan sementara (stockpile) tanah buang.
    9. Sebagai ruang untuk kerja-kerja pengindahan serta kemudahan-kemudahan rekreasi.

    (Sumber Rujukan : Garispanduan Pembangunan Melibatkan Sungai dan Rizab Sungai)

     

    JPS sebolehnya tidak membenarkan sebarang binaan atau struktur kekal dibina di atas tanah rizab sungai kecuali bagi tujuan seperti berikut sahaja:-

    1. Tapak semaian / jualan pokok hiasan
    2. Pertanian (tanaman kontan)
    3. Pondok Pengawal
    4. Papan iklan (billboard)
    5. Tempat letak kereta

    Walau bagaimanapun, bagi tujuan tapak semaian/ jualan pokok hiasan dan pertanian (tanaman kontan) adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah dan Tanah manakala bagi tujuan pondok pengawal, papan iklan (billboard) dan tempat letak kereta  adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan iaitu pihak Majlis.

  2. Bagaimana kerajaan merancang untuk memastikan bahawa kawasan tanah rizab sungai tidak diteroka atau diubah suai tanpa izin yang sewajarnya?

    Dari sudut perundangan, terdapat dua (2) punca kuasa yang menjadi amalan dan digunakan dalam memastikan bahawa kawasan tanah rizab sungai tidak diteroka atau diubah suai tanpa izin yang sewajarnya iaitu yang pertama melalui pengisytiharan sungai-sungai dan rizabnya sebagai zon perlindungan di bawah Seksyen 48(1), Enakmen LUAS 1999, LUAS mempunyai kuasa untuk membuat sekatan atau pembatasan terhadap aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti dan kuantiti sungai tersebut. Sebarang pelanggaran terhadap sekatan tersebut adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 48(9), Enakmen LUAS 1999. Selain itu, dengan pewartaan ini juga akan menjadi panduan kepada agensi Kerajaan dan swasta dalam merancang apa-apa cadangan pembangunan baru yang berada di dalam demarkasi zon perlindungan sungai-sungai dan rizabnya dengan mengambil kira syarat dan peraturan khusus yang akan dikemukakan oleh LUAS.

    Yang kedua pula adalah juga melalui pewartaan perizaban tanah sungai namun dengan menggunakan punca kuasa perundangan Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN) yang akan melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT). Melalui kaedah ini, hak milik tanah di dalam kawasan rizab sungai akan dikawal dan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan tanah-tanah hak milik individu akan dibayar dan diberikan pampasan bagi tujuan pengambilan balik tanah bagi tujuan maksud awam iaitu untuk rizab sungai. Namun begitu, dari segi amalannya, pewartaan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN) ini agak sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya kerana akan melibatkan kos yang sangat tinggi bagi kos penyediaan kerja ukur halus dan kos bayaran pampasan kepada pemilik tanah individu. Akan tetapi, amalan bagi kaedah ini tetap dilaksanakan pada masa sekarang mengikut projek pembangunan ataupun skim pembangunan yang terlibat dengan rizab sungai yang mana pemaju ataupun pemilik tanah perlu menyerahkan rizab sungai tersebut mengikut Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN).

  3. Adakah terdapat peruntukan kewangan khusus untuk memelihara dan melindungi tanah rizab sungai?

    Bagi peruntukan kewangan khusus untuk memelihara dan melindungi tanah rizab sungai sama ada melalui kaedah pewartaan dan penubuhan zon perlindungan di bawah Seksyen 48(1), Enakmen LUAS 1999 dan juga melalui kaedah pelaksanaan projek, program dan aktiviti, LUAS menggunakan peruntukan bajet pembangunan LUAS sendiri melalui kelulusan Kerajaan Negeri dan juga bajet daripada 2 (dua) jawatankuasa terlibat iaitu yang pertama Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim & Teknologi Hijau dan yang kedua; Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian & Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani.

Lampiran

Tiada Lampiran.