Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
142) PEMBANGUNAN SUKAN TENIS DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha pihak Kerajaan Negeri untuk membantu pembangunan sukan tenis di Negeri Selangor?
Sukan tenis merupakan sukan yang tidak disenaraikan dalam program sukan teras di peringkat negara dan negeri. Pada temasya SUKMA pula, sukan tenis adalah dikategorikan sebagai sukan pilihan. Sukan pilihan ini adalah sukan yang tidak diwajibkan untuk dipertandingkan dalam SUKMA. Namun, ianya boleh disenaraikan untuk dipertandingkan oleh tuan rumah iaitu negeri penganjur untuk dimasukkan dalam senarai sukan di SUKMA. Di peringkat antarabangsa, sukan tenis juga merupakan sukan yang dipertandingkan di Sukan Sea ke-31 di Hanoi, Vietnam baru – baru ini. Dua (2) orang atlet Selangor telah mewakili negara ke Sukan Sea tersebut iaitu Darshan Suresh dan Syarifah Elysia.
Meskipun ianya tidak disenaraikan dalam program sukan teras, namun di peringkat negeri Selangor, sukan tenis merupakan sukan yang aktif menjalankan program pembangunan melalui Persatuan Tenis Selangor (STA). Saban tahun, Persatuan Tenis Selangor (STA) akan menganjurkan kejohanan di peringkat negeri, peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Pada tahun 2022 ini, STA telah berjaya menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa iaitu World Tennis Tour Juniors 2022 pada Mac yang lalu dan Genting- Selangor Asian Tennis Championship (U14) 2022 pada Ogos yang lalu.
Pihak MSNS sentiasa menyokong dengan menyediakan bantuan kewangan kepada STA untuk program – program penganjuran yang dijalankan oleh pihak STA. Selain daripada itu juga, pihak MSNS menyediakan peruntukan untuk program pembangunan dan pada SUKMA yang lalu, pihak Majlis memberi bantuan peruntukan untuk penyediaan jurulatih, penyertaan ke kejohanan, penggunaan kemudahan pusat latihan dan juga aktiviti yang melibatkan peningkatan prestasi atlet.
-
Berapakah bilangan gelanggang tenis awam yang terdapat di Negeri Selangor dan sejauh manakah ia dimanfaatkan oleh masyarakat?
Terdapat enam (6) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menyediakan gelanggang tenis awam di Negeri Selangor. Bagi gelanggang tenis awam yang lain, sebanyak tiga (3) lokasi di Pejabat Daerah dan Tanah. Berikut adalah lokasi gelanggang tenis awam di Negeri Selangor:
Kebanyakan gelanggang tenis awam ini disediakan untuk kegunaan komuniti setempat yang bertujuan untuk menjalankan aktiviti sukan dan dikenakan bayaran percuma atau minima. Selain itu juga, ianya digunakan oleh pihak sekolah untuk menjalankan program latihan untuk pembangunan sukan tenis di daerah kerana sukan tenis juga merupakan sukan teras yang dibangunkan di peringkat sekolah dan ianya juga sehingga ke peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).
Gelanggang tenis awam juga banyak dimanfaatkan di daerah-daerah yang merupakan bandar kerana kepadatan penduduk yang sering menggunakan fasiliti awam untuk bersukan. Ini juga disebabkan oleh populariti sukan tenis yang tidak menjadi pilihan golongan biasa seperti sukan bola sepak, futsal dan sebagainya kerana sukan tenis lebih dikategorikan sebagai sukan elit.