Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

86) PEMBANGUNAN SUKAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Adhif Syan Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan negeri bagi membantu Majlis Sukan Negeri Selangor dari segi meningkatkan peruntukan tahunan?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan program pembangunan sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor dapat dilaksanakan sebagaimana perancangan yang telah dibuat. Justeru itu, dalam usaha untuk memastikan program-program pembangunan sukan dapat dilaksanakan sebagaimana perancangan yang telah dibuat, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan tahunan kepada Majlis Sukan Negeri Selangor yang mana peruntukan ini diluluskan berdasarkan kedudukan kewangan semasa Kerajaan Negeri.

     

    Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM14,500,000.00 di bawah Program Pembangunan Generasi Muda dan Sukan. Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM7,000,000.00 telah digunakan untuk melaksanakan Program Pembangunan Sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) yang merangkumi Program Persediaan untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA), Program Latihan Negeri yang dijalankan di pusat – pusat latihan negeri dan Program Latihan Daerah yang dijalankan di daerah-daerah. Dengan pemerkasaan program pembangunan sukan  secara berterusan, Kerajaan Negeri berharap dapat melahirkan lebih ramai lagi atlet yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan juga menjadi kebanggaan Negeri Selangor apabila berjaya mewakili negara ke kejohanan yang lebih tinggi dan prestij.

     

    Seterusnya, sebanyak RM5,260,000.00 pula telah diperuntukkan untuk Program Pembangunan Generasi Muda yang mana program-program ini telah dilaksanakan berdasarkan teras yang terkandung di dalam Dasar Belia Selangor dengan penglibatan Penggerak Belia Selangor (PeBS). Sebanyak RM2,240,000.00 pula adalah bagi Projek Membaikpulih dan Membina Baru Infrastruktur Sukan Negeri Selangor di bawah pelaksanaan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

     

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan peruntukan khusus bagi menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan sukan yang terdapat di Negeri Selangor pada masa hadapan sekiranya Negeri Selangor dipilih menjadi Tuan Rumah Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21, 2022.

  2. Bagaimanakah kerajaan Negeri Selangor dapat membantu latihan atlet secara sepenuh masa sedangkan tiada satu pun pusat sukan atau kompleks sukan diletakkan dibawah MSNS?

    Majlis Sukan Negeri Selangor selama ini menjalankan program pembangunannya atau program latihannya dengan menggunapakai pusat latihan atau fasiliti sukan yang kepunyaan di agensi lain seperti fasiliti milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekolah – sekolah dan juga pihak swasta. Agensi – agensi yang memberi kebenaran untuk menggunakan fasiliti mereka adalah semua PBT di Selangor, Darul Ehsan Facility Management (DEFM), Ampang Superbowls Summit dan beberapa sekolah yang terlibat. Untuk tujuan tersebut, pihak Majlis menanggung sepenuhnya bayaran sewa fasiliti tersebut.

     

    Dari aspek program, pihak Majlis perlu meneruskan program latihan atlet sama ada secara sepenuh masa mahupun separuh masa kerana atlet – atlet ini wajib berlatih untuk memastikan prestasi semasa mereka berada di tahap yang sebaiknya. Selain itu juga terdapat kejohanan – kejohanan peringkat kebangsaan yang telah disusun oleh jurulatih dan atlet – atlet ini perlu sentiasa dalam tahap bersedia untuk ke kejohanan.

     

    Kerajaan Negeri Selangor buat masa kini sedang meneliti fasiliti – fasiliti yang tidak mendapat sambutan orang awam untuk digunapakai oleh atlet Selangor sepenuhnya. Selain itu juga, kerajaan negeri dalam perancangan untuk mewujudkan satu pusat atau kompleks sukan yang sedia ada yang boleh menempatkan sekurang – kurangnya lebih dari lima (5) jenis sukan dalam satu masa.

Lampiran

Tiada Lampiran.