Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

342) PEMBANGUNAN SUKAN BOLA SEPAK SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam pembangunan bola sepak Negeri Selangor dan apakah perancangan untuk memperbaiki kedudukan bola sepak Selangor di Malaysia?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor bersama Persatuan Bolasepak Selangor sentiasa meneruskan usaha dalam memperkasakan bolasepak negeri Selangor, Kerajaan Negeri sebagai pemegang saham SFC, telah memberi penekanan kepada beberapa aspek utama antaranya bagi memastikan kedudukan pasukan bolasepak Negeri Selangor menjadi antara pasukan terbaik di Malaysia. Sehubungan itu antara inisiatif Persatuan Bolasepak Selangor dan Selangor Football Club (SFC) yang dilaksanakan adalah :

    1. Mengejar matlamat kejuaraan serta kelayakan ke peringkat Asia. SFC memberi fokus kepada pembangunan Skuad Utama dari aspek pengurusan, kejurulatihan dan sains sukan. Selain dari tu, SFC turut memberikan penekanan kepada bola sepak wanita, futsal dan esport.
    2. Pembangunan pasukan secara menyeluruh dengan memastila program pembangunan pasukan diimplimentasikan termasuklah kepada skuad U23, U20, U18, U17, U15 U12, U11 serta program SFC Soccer School. SFC turut memberikan penekanan kepada menaik taraf fasiliti dan stadium supaya berada di tahap yang baik dalam memastikan pasukan dapat menggunakan intrastruktur mahupun kemudahan latihan terbaik di Malaysia.
    3. Kelestarian kelab dalam memastikan SFC boleh menjana pendapatan secukupnya melalui penajaan, penjualan cenderamata dan jersi, tiket hari perlawanan dan aspek-aspek media
    4. Selain itu SFC bekerjasama rapat dengan Kerajaan negeri Selangor untuk melihat peluang dari non-football revenue yang boleh membantu menyokong kelestarian kelab.
  2. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk mewujudkan program untuk melahirkan pelapis yang terdiri dari anak jati Negeri Selangor dari peringkat sekolah rendah?

    Kerajaan Negeri Selangor bersama Majlis Sukan Negeri Selangor dan Persatuan Bolasepak Selangor sentiasa berusaha dalam mempertingkatkan kualiti dan kemajuan bola sepak di Negeri Selangor di peringkat akar umbi dan komuniti setiap tahun. Pihak Persatuan telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi memastikan sukan bola sepak negeri Selangor terus melihat peningkatan kualiti dan kelestarian industri terutamanya untuk melahirkan pemain pelapis yang terdiri daripada anak jati Negeri Selangor. Persatuan Bolasepak Selangor telah memberi penekanan terhadap 3 aspek utama bagi memastikan peningkatan mutu serta kemajuan bola sepak negeri Selangor di peringkat sekolah rendah:

     

    1. Penganjuran Liga Bola sepak Junior FAS

    –   Setiap tahun FAS telah berjaya menjalankan liga negeri bagi kategori lelaki dengan menjalankan Liga FAS yang memiliki 5 divisyen, 96 pasukan, hampir 500 perlawanan serta 3550 peserta. Liga ini memastikan bakat muda wajib didaftarkan di setiap pasukan supaya pendedahan dapat diberikan kepada pemain-pemain ini.

     

    1. Mewujudkan program SFC Soccer Schools

    –  Program ini adalah kerjasama rapat di antara SFC, Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi menempatkan jurulatih yang berkualiti dan berpengalaman di sekolah-sekolah sekitar Negeri Selangor. Program ini merupakan program pencungkilan bakat yang membenarkan pemain dari pelbagai latar belakang untuk menyertai program bola sepak yang berkualiti. Sehingga kini, seramai 1,500 pemain berumur dari 7 tahun hingga 12 tahun dan sebanyak 45 buah sekolah di negeri Selangor telah menyertai program ini. Antara manfaat program ini adalah Latihan bola sepak yang dijalankan setiap minggu serta pendedahan kepada perlawanan atau pertandingan yang kompetitif.

     

    1. Program Elit Soccer School

    –    Program ini adalah kesinambungan kepada Program SFC Soccer School, di mana pemain-pemain yang berpotensi tinggi pula akan diserap ke kategori elit. Di dalam program elit ini pula, Latihan yang lebih intensive dan kerap dilaksanakan. Pemain-pemain ini diwajibkan Latihan intensive sehingga 3 kali seminggu untuk mencapai minit permainan dan pendedahan yang optimum. Pihak SFC juga bekerja rapat dengan pihak Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor untuk mewujudkan akademi swasta yang berkonsep seperti Akademi Mokhtar Dahari dan Sekolah Sukan Negeri namun dengan konsep yang lebih terbuka dengan modul pembangunan yang terkini dan terbuka kepada seluruh pemain yang berbakar di dalam negeri dan negara.

  3. Senaraikan perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu pembangunan sukan bola sepak di DUN Permatang sejak tahun 2018 sehingga terkini.

    Program pembangunan sukan bolasepak yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dan Persatuan Bolasepak Negeri Selangor adalah secara menyeluruh dan terbuka kepada seluruh pelusuk daerah Negeri Selangor. Antara program pembangunan bolasepak di DUN permatang yang telah stabil dan berjaya dilaksanakan adalah di SMK Dato Harun Tanjung Karang melalui Program National Football Development Program (NFDP). Walau bagainamanapun, tiada peruntukan dan perbelanjaan khusus yang diberikan bagi mana-mana DUN di Negeri Selangor dalam pembangunan bolasepak.

Lampiran

Tiada Lampiran.