Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
290) PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI MENYELURUH DI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi dan inisiatif kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi menyeluruh termasuk semua daerah-daerah di Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan keperluan setiap daerah dalam aspek pembangunan bagi memastikan keseimbangan kemajuan di seluruh Negeri Selangor. Namun begitu, tidak dinafikan terdapat sesetengah daerah di negeri ini yang lebih membangun jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain. Hal ini disumbangkan oleh beberapa faktor penentu seperti infrastruktur, kemudahan dan kesesuaian lokasi mengikut pembangunan. Daerah yang memperoleh status bandar mempunyai kemudahan dan infrastruktur yang lebih lengkap seterusnya mampu menarik pelabur untuk memajukan lagi kawasan terbabit. Selain itu, lokasi bersesuaian juga mampu menarik minat pelabur berdasarkan kepada keperluan dan kehendak bagi pelaburan
Bukti bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan keadilan dan mempraktikkan pembangunan ekonomi menyeluruh di setiap daerah adalah kejayaan Kerajaan Negeri membasmi kemiskinan di bandar dan luar bandar berdasarkan kepada laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang mendedahkan keseluruhan kadar kemiskinan Negeri Selangor berkurangan daripada 0.2 peratus pada tahun 2014 kepada 0.0 peratus pada tahun 2016. Jabatan Perangkaan juga dalam laporannya menyebut bahawa kadar ketidaksaksamaan berkurangan di Selangor dan ia disebabkan dasar serta prinsip ketelusan pentadbiran negeri.
Ini jelas menunjukkan Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana daerah sama ada berstatus bandar atau luar bandar dalam usaha untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada semua. Walaupun telah berjaya membuktikan tadbir urus yang dilaksanakan berkesan dan mencapai kejayaan, Kerajaan Negeri sentiasa menggembleng
tenaga, menggandakan usaha dan merangka strategi serta inisiatif bagi melebarkan golongan kelas menengah dengan lebih pantas selaras dengan slogan ‘Hasil Negeri untuk Rakyat’, yang mana sebahagian kekayaan negeri dikembalikan semula kepada rakyat khususnya kepada golongan yang memerlukan.
Kerajaan Negeri telah merangka strategi dan inisiatif pembangunan ekonomi secara menyeluruh di semua daerah-daerah di Selangor melalui perancangan pembangunan di peringkat akar umbi, antaranya dengan memperkenalkan program-program kebajikan yang dilaksanakan sejak tahun 2008, iaitu Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dahulunya dikenali sebagai Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Antara program-program yang dilaksanakan adalah:
- Bas Smart Selangor yang merupakan perkhidmatan bas percuma mula dilaksanakan pada 1 Julai 2015 dengan mengambilkira aspek-aspek seperti pemilihan laluan di kawasan berkepadatan tinggi untuk disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah. Keutamaan laluan adalah di kawasan yang tiada perkhidmatan bas sedia ada, manakala lokasi tumpuan adalah seperti pusat membeli belah, pejabat-pejabat kerajaan dan kemudahan
- Skim Hijrah Selangor yang merupakan skim mikrokredit kepada golongan miskin untuk membantu berhijrah kepada golongan berpendapatan kelas menengah. Sehingga 31 Julai 2017, seramai 38,914 orang telah mendapat manfaat melalui program ini dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan sebanyak RM240,385,500.00.
- Dana Usahawan Mikro Selangor iaitu insentif kepada usahawan muda berjumlah RM10,000 kepada RM30,000 bagi setiap permohonan sebagai galakan kepada usahawan muda meningkatkan poduktiviti dan pasaran produk yang seterusnya dapat mentransformasikan taraf hidup ke suatu tahap yang lebih
- Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan yang berbentuk penajaan bagi golongan masyarakat individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil. Program ini dilaksanakan dengan pemberian bantuan peralatan/mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Antara lima (5) skop utama perusahaan adalah seperti jahitan, perniagaan makanan, perniagaan runcit, pengasuh kanak-kanak dan kraftangan. Sehingga 31 Julai 2017, jumlah penerima manfaat bagi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah seramai 3,264
- Bekalan Air 20m3 Percuma merupakan insentif Kerajaan Negeri bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akibat daripada kadar sara hidup dan inflasi yang tinggi dengan menawarkan air bersih sebanyak 20 meter padu, bersamaan dengan 20,000 liter atau 5,680 gelen, setiap bulan bersamaan RM11.40 secara percuma untuk rakyat. Faedah ini adalah untuk semua tanpa mengira taraf ekonomi, kaum, fahaman politik, asalkan tinggal di Selangor, berhak mendapat air percuma tersebut, setiap Sehingga
31 Julai 2017, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM1,354,206,738.00 bagi membiayai bekalan percuma ini.
- Skim Peduli Sihat adalah penyediaan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250,000 keluarga atau sejuta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM125 juta setahun bagi skim ini yang diuruskan oleh Selgate Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator. Peruntukan tersebut merangkumi pembiayaan rawatan kesihatan asas (primary care) setiap keluarga yang layak sehingga RM500 setahun. Setiap peserta akan menerima kad kesihatan Peduli Sihat yang membolehkan pemegang akaun utama serta tanggungan, isteri juga anak di bawah 21 tahun menerima rawatan doktor (general practicioner) di klinik berdaftar menurut had gunaan dan kelayakan
- Setiap daerah di Selangor mempunyai potensi dan prospek pembangunan sosioekonomi yang berbeza. Dalam pelaksanaan hala tuju pembangunan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri memberi fokus kepada perkongsian kekayaan secara inklusif melalui penglibatan ekonomi yang menyeluruh oleh setiap daerah. Bagi memastikan pertumbuhan ekonomi di setiap daerah terus kukuh dan berkembang maju, konsep pembangunan Negeri Selangor adalah ke arah pembangunan wilayah bandar berdasarkan kepada pengkhususan fungsi
Sebagai contoh, pembangunan Daerah Hulu Selangor memfokuskan kepada pembangunan bandar industri automotif. Pelan pembangunan yang komprehensif telah dirangka bagi menyediakan infrastruktur yang bersepadu, moden dan canggih bagi membolehkan bandar ini berperanan sebagai nodus perkembangan sektor automotif di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi galakan berterusan terhadap pembangunan industri berteknologi tinggi bagi berhadapan dengan cabaran globalisasi dan pengekalan momentum ekonomi. Perkembangan industri automotif di daerah ini dijangka akan menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Selangor dan menyumbangkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan. Taman Pengilangan Bernilai Tinggi UMW di Serendah merupakan
antara pelaburan berimpak tinggi di daerah ini yang memberi tumpuan kepada pengukuhan aeroangkasa dan industri lain yang berkaitan dengan pengilangan pintar. Taman berkeluasan 344 hektar tersebut merupakan projek pembangunan bercampur yang menampilkan kemudahan pengeluaran UMW Aerospace bagi selongsong kipas enjin aero untuk Rolls-Royce. Ianya dijangka akan bertindak sebagai pemangkin untuk menarik pelaburan bernilai tinggi yang lain di daerah tersebut.
Manakala bagi Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam pula, fokus pembangunan ekonomi daerah ini menjurus kepada pertumbuhan industri pertanian dan asas tani. Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan pembangunan pertanian adalah seiring dengan pertumbuhan sektor-sektor lain bagi memastikan kelangsungan sumber makanan utama negara iaitu padi. Bagi memperkasakan industri pertanian, Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan inovasi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan nilai tambah industri pertanian di zon utara Negeri Selangor.
Pembangunan pesat yang sedang meledak di Daerah Sepang bukan sahaja menjadikan daerah ini terkenal di Malaysia malahan turut menarik tumpuan pelancong dari seluruh pelosok dunia memilih untuk ke lokasi yang memiliki pelbagai fasaliti bertaraf dunia itu. Selain Litar Antarabangsa Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 yang merupakan pintu masuk utama negara adalah antara kebanggaan penduduk Sepang. Cyberjaya sebagai ikon pusat teknologi telah berjaya dikomersilkan sehingga menjadi bualan pelabur-pelabur antarabangsa. Projek pembangunan terbaharu berkonsepkan bandar pintar, Selangor Cyber Valley (SCV), berkeluasan 526 hektar merupakan bukti pembangunan terancang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan daerah ini tidak terpinggir dalam kerancakan arus pembangunan di Negeri Selangor. Projek bandar pintar yang mula dibangunkan pada 2006 dengan nama asalnya Taman Sains Selangor II ini merupakan pembangunan bercampur merangkumi kediaman, taman industri, pusat komersial dan institusi pendidikan yang dilengkapi dengan saluran rangkaian kabel gentian optik berkelajuan tinggi selain peranti pengesanan alam sekitar bagi tujuan indikasi kualiti udara selain kemudahan awam.
Contoh-contoh tersebut jelas menunjukkan Kerajaan Negeri mempunyai perancangan berfokus bagi mengimbangi pembangunan di setiap daerah di Negeri Selangor mengikut potensi dan prospek pembangunan sedia ada. Melihat kepada perkembangan dan pertumbuhan ekonomi yang di kecapi oleh Negeri Selangor sebagai penyumbang utama keluaran dalam negara kasar (KDNK) nasional jelas membuktikan perancangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri membuahkan hasil dan perlu diteruskan malah boleh menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.
-
Apakah setiap daerah di Selangor mempunyai potensi dan prospek pembangunan sosioekonomi berfokus?