Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

2) PEMBANGUNAN SISTEM PANGKALAN DATA DAN MAKLUMAT WARGA MISKIN DI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai apa-apa cadangan di masa hadapan terdekat bagi membangunkan sistem pangkalan data warga miskin di Selangor supaya Kerajaan Negeri mempunyai maklumat penuh mengenai status pendapatan keluarga serta bantuan-bantuan yang telah diterima oleh mereka dari pelbagai pihak?

    Untuk makluman Yang Berhormat Bandar Utama, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi sentiasa prihatin dan peka dalam membantu meringankan bebanan hidup rakyat. Kepekaan ini telah direalisasikan melalui program-program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi sendiri, program pembasmian kemiskinan dan pengupayaan ekonomi telah dilaksanakan sejak tahun 2008 lagi. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan telah berjaya memberi manfaat kepada 4,506 orang miskin di negeri Selangor manakala Program Pemberian Bantuan Secara Baucar Untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan telah berjaya membantu seramai 609,632 orang miskin dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM60,963,200.00.

    Oleh yang demikian, dalam usaha menambah baik program-program sedia di bawah bantuan IPR, Kerajaan Negeri sedang membangunkan satu sistem yang dipanggil Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) yang bertujuan untuk memudahkan rakyat dalam membuat permohonan dan membantu Kerajaan Negeri dalam pengurusan dan pemantauan maklumat serta data keseluruhan IPR. Melalui SSIPR ini, kesemua 33 program di bawah IPR akan disatukan di dalam satu gerbang informasi bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat dan mendaftar secara dalam talian bagi inisiatif yang layak dimohon dengan lebih mudah. Projek SSIPR telah dibangunkan secara berkala dan akan siap sepenuhnya pada November 2020.

    Sistem ini secara tidak langsung akan mewujudkan satu pengkalan data bagi kesemua rakyat Negeri Selangor khususnya warga miskin mengenai maklumat pemohon, pandapatan individu mahupun isi rumah dan segala inisiatif yang telah diterima oleh mereka dari Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi SSIPR selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk menjadi Premier Regional Smart State menjelang tahun 2025.

Lampiran

Tiada Lampiran.