Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

214) PEMBANGUNAN SEMULA BANDAR

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terbaru program pembangunan semula bandar dan apakah faktor-faktor yang melambatkan perjalanan program ini?

    Pembangunan semula bandar merupakan salah satu daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor yang telah diumumkan pada 10 Mac 2009. Kerajaan Negeri akan memberi fokus pembangunan semula bandar ini terutama di kawasan Petaling Jaya dan Klang, memandangkan kawasan tersebut membangun dengan begitu pesat dan terdapat kawasan-kawasan lama yang telah usang dan tidak mampu untuk bersaing dengan pembangunan sekitar yang kian membangun.

    Di dalam Rancangan Tempatan yang telah disediakan telah mengenalpasti tapak-tapak untuk pembangunan semula bandar iaitu di Pekan Subang, Kampung Baru Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang dan Kampung Padang

    Jawa di MBSA. Di kawasan MPK kawasan yang telah dikenalpasti adalah di

    Jalan Kem Pelabuhan Klang, Jalan Bharu, Pusat Bandar Klang dan Kampung

    Pandan. Di kawasan MPKj pula kawasan yang telah dikenalpasti adalah Pusat Bandar Kajang, Batu 11 Balakong dan Kampung Sungai Ramal. Taman

    Greenwood dan Pekan Kuang telah dikenalpasti di dalam kawasan MPS. Di

    MPAJ kawasan yang telah dikenalpasti antaranya Taman Sri Keramat AU, Kampung Pandan Dalam dan Bangunan Kuarters PDRM. Manakala di MPSJ kawasan yang telah dikenalpasti adalah di Seri Kembangan dan Serdang Lama.

    Namun demikian, setelah beberapa siri mesyuarat dan perbincangan pembangunan semula bandar yang dipengerusikan oleh Y.A.B Tan Sri’ Dato’ Seri Menteri Besar telah diadakan. Untuk peringkat pertama, kawasan Pusat Bandar Taman Keramat di MPAJ dan kawasan Seksyen 51, 51A dan 52 di Petaling Jaya dipilih sebagai fokus untuk pembangunan semula bandar.

    Bagi merealisasikan pembangunan semula bandar di Petaling Jaya, Kerajaan Negeri telah menjemput Juru perunding Perancang Bandar untuk bekerjasama dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi mengenalpasti kawasan terpilih di dalam Petaling Jaya dengan mengemukakan Kertas Kerja Konsep Pembangunan Semula

    Bandar Petaling Jaya.

    Pada 7hb. September 2010, MBPJ telah mengemukakan pelawaan perunding bagi penyediaan ‘vision plan’ dan ‘management model report’ untuk pembaharuan bandar bagi Seksyen 51, 51A  dan Seksyen 52 ( termasuk sebahagian Seksyen 14, 7 & 8), Petaling Jaya. Penyediaan ’vision plan’ dan ’management model report’ ini akan melibatkan penyertaan penduduk-penduduk setempat melalui ’focus group discussion’ dan beberapa siri bengkel untuk memastikan perancangan yang holistik dapat dijalankan.

    Pada 30hb. November hingga 1hb. Disember 2009, satu Seminar Antarabangsa dengan tema ‘International Conference Urban Regeneration – Towards Selangor’s Sustainable Future’ telah diadakan bertempat di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya. Seminar yang melibatkan seramai 300 peserta ini telah dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Negeri, REHDA Negeri Selangor, RICS dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP). Antara peserta yang hadir adalah dari Pihak Swasta, Badan Kerajaan, IPTA, IPTS, Pertubuhan Profesional, Ahli-ahli Majlis PBT, ADUN, Ahli Parlimen, NGO dan individu-individu lain.

    Y.A.B Tan Sri Dato’ Seri Menteri Besar Selangor telah merasmikan seminar tersebut dengan menyampaikan Ucaptama yang bertajuk ‘Setting The Local Context – Urban Regeneration in Selangor’. Seminar ini juga turut melibatkan pembentang-pembentang dari luar negara seperti USA, Brisbane dan Singapore  untuk berkongsi idea dan cadangan dalam usaha untuk memastikan pembangunan semula dapat dilaksanakan dengan jayanya.

    Bagi kawasan Klang pula, Kerajaan Negeri melalui Pasukan Kajian Pengindahan dan Pemeliharaan Sungai Klang telah pun menjalankan Kajian Inventori dan Gunatanah bagi keseluruhan kawasan Majlis Perbandaran Klang sepanjang 21 kilometer di persisiran Sungai Klang. Kerajaan Negeri juga telah melantik Juruperunding Rekabentuk Bandar untuk mengenalpasti kawasan-kawasan berpotensi untuk dijalankan pembangunan semula atau bandar baru di kawasan tersebut.

    Secara ringkasnya, Kerajaan Negeri begitu komited untuk melihat pembangunan di kedua-dua kawasan ini iaitu Petaling Jaya dan Klang terus membangun dengan lebih terancang dan sistematik.

    Pihak Kerajaan Negeri begitu yakin dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan agenda pembangunan semula bandar ini berjaya dan mendapat sokongan penuh semua pihak berkepentingan.

  2. Adakah kerajaan juga membangunkan semula kampung-kampung baru Cina di kawasan bandar di mana kampung baru ini semakin usang dan perlu dibangun semula?

    Setakat ini tiada pembangunan semula kampung-kampung baru cina di kawasan bandar. Walau bagaimanapun, di dalam penyediaan Rancangan Tempatan di Negeri Selangor pembangunan semula kampung-kampung tradisional termasuk kampung baru cina di kawasan bandar telah diambil kira dan diberi perhatian di dalam perancangan pada masa hadapan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.