Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

115) PEMBANGUNAN SEMULA BANDAR

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bila Kerajaan Negeri Selangor akan menjalankan kajian berkaitan Pembangunan Semula Bandar terutama kawasan yang berusia 30-40 tahun?

    Konsep pembangunan semula bandar merupakan salah satu pendekatan yang digunakan untuk membangunkan atau memajukan semula kawasan yang lama dan usang yang meliputi empat (4) kaedah iaitu rehabilitation, restoration, regeneration dan redevelopment. Kerajaan Negeri sangat komited untuk memastikan pendekatan ini dapat dilaksanakan secara optimum di kawasan- kawasan lama dan usang dalam tempoh RMK ke 11

    Di peringkat negeri Selangor juga, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti beberapa isu berkaitan bandar lama ini seperti bangunan/kawasan kosong dan usang, kawasan tanah kerajaan yang tidak dibangunkan secara optimum, kawasan yang mengalami tekanan perubahan guna tanah, kawasan yang mengalami masalah akses dan infrastruktur, dan kawasan bandar yang tidak lagi ekonomik serta mengalami ketidakstabilan struktur fizikal bandar dan pereputan (decay). Di peringkat tempatan umpamanya, tapak-tapak cadangan untuk pembangunan semula telah dikenalpasti di dalam Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas yang disediakan.

    Selain itu, Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 turut menyokong pembangunan semula bandar iaitu di bawah DASAR MP3 Pembangunan Baru Perlu Mengutamakan Tapak-Tapak Dalam Kawasan Perbandaran Sedia Ada Melalui Pembangunan Secara Infill, Pembangunan Tapak Brownfiled Dan Pembaharuan Bandar (Urban Renewal). Dasar ini dapat membantu menangani masalah kekurangan tanah atau kawasan yang sesuai untuk pembangunan perbandaran terutama di Daerah Gombak, Petaling Jaya dan Klang yang semakin terhad.

  2. Apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi kawasan-kawasan lama tersebut?

    Bagi perancangan jangka pendek, Pihak Berkuasa Tempatan berdasarkan Rancangan Tempatan telah pun mengenalpasti kawasan-kawasan pembangunan semula bandar mengikut keutamaan dan kesesuaian berdasarkan Rancangan Tempatan yang telah disediakan. Sehingga kini, sebahagian dari kawasan pembangunan semula yang telah dikenalpasti ini telah pun dimajukan oleh pemaju, pemilik tanah dan anak-anak syarikat melalui kebenaran merancang yang telah diberikan. Dalam masa yang sama juga, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor telah menyiapkan Kajian Brownfield Negeri Selangor dan telah mengenalpasti sebanyak 212 tapak-tapak brownfield ini yang berpotensi untuk dibangunkan semula mengikut keutamaan dan kesesuaian yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan meningkatkan ekonomi setempat.

    Bagi maksud itu juga, Kerajaan Negeri sangat menggalakkan pihak pemaju, pelabur, pemilik tanah, anak-anak syarikat dan agensi pelaksana untuk membangunkan kawasan-kawasan lama dan usang ini bagi merubah landskap bandar yang lebih menarik dengan penaiktarafan kemudahan awam, infrastruktur, sistem pengangkutan, dan fasad bangunan di samping memberi manfaat semua pihak terlibat dan meningkatkan hasil Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

    Bagi perancangan jangka panjang pula, Kerajaan Negeri melalui RMK11 akan terus memantau dan memastikan program pembangunan semula bandar ini dioptimumkan terutama di kawasan-kawasan yang telah lama atau usang. Di samping itu juga, bagi perancangan jangka masa panjang, konsep ‘land readjustment’ atau pembangunan tanah bersepakat (PTB), juga dikenali di negara lain dengan nama ‘land consolidation’ atau ‘land pooling’ boleh dilaksanakan di mana sekumpulan lot tanah yang telah dibangunkan secara tidak terancang dan tertinggal dari arus pembangunan, disusun semula dengan penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi, melalui kerjasama dan persetujuan pemilik-pemilik tanah. Bagi perlaksanaan yang lebih sistematik dan holistik, Kerajaan Negeri sangat berharap semua pihak pemilik tanah, pemaju, anak-anak syarikat dan Pihak Berkuasa Tempatan dapat mengkaji kesesuaian dan menguruskan perlaksanaannya secara ‘integrated’ atau bersepadu dengan penglibatan awam atau ‘public engagement’ selaras dengan pendekatan ‘people centric’.

  3. Bila akan dimulakan projek perintis tersebut dan di mana pilihan tapak projek?

    Berkenaan dengan projek perintis pula, Kerajaan Negeri bersama agensi pelaksana berkaitan akan mengkaji tapak-tapak yang bersesuaian berdasarkan Rancangan Tempatan dan kajian-kajian lain dan memberi tumpuan khusus melalui RMK11

Lampiran

Tiada Lampiran.