Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

28) PEMBANGUNAN SELANGOR FC

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah penglibatan Kerajaan Negeri Selangor dalam Selangor FC?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Menteri Besar Incorporated (MBI) merupakan pemegang saham Selangor FC sebanyak 30% dan 20% masing-masing. Kerajaan Negeri Selangor juga diwakili oleh Pengarah UPEN, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI di dalam Lembaga Pengarah Selangor FC yang dipengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Perwakilan ini memastikan bahawa Kerajaan Negeri Selangor dapat terlibat secara langsung di dalam meneruskan agenda pembangunan bola sepak negeri Selangor bagi membawa nama Selangor ke persada bola sepak antarabangsa dan memastikan anak-anak muda Selangor dapat mengembangkan bakat-bakat mereka demi peningkatan pasukan Selangor serta pasukan Kebangsaan. Selain aktiviti-aktiviti berteraskan sukan bola sepak, kerajaan Negeri Selangor melalui agensi-agensi kerajaan negeri juga sering bekerjasama dengan Selangor FC dan para pemain bola sepak profesional Selangor dalam menghebahkan program-program kemasyarakatan dan kebajikan yang dapat memberi manfaat serta kebaikan kepada rakyat Selangor. Usaha-usaha secara menyeluruh ini diharapkan dapat mendekatkan rakyat Selangor kepada Selangor FC dan juga Kerajaan Negeri Selangor.

  2. Apakah perancangan bagi mengembali kegemilangan Selangor FC?

    Selangor FC di bawah kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor sedang di dalam proses transformasi dalam mengembalikan kegemilangan bagi Selangor FC secara jangka masa panjang. Pelbagai inisiatif di dalam aspek Pentadbiran, Infrastruktur, Pembangunan Akar Umbi, Pasukan Utama dan Penjanaan Pendapatan telah diusahakan demi mengembalikan kegemilangan Selangor FC. Antara pencapaian utama yang berjaya dilaksanakan seiring dengan visi dan misi untuk mengembalikan kegemilangan Selangor FC adalah penswastaan pasukan bola sepak profesional, naik taraf pusat latihan, pembinaan pusat rehabilitasi sukan, penekanan terhadap sains sukan, peningkatan aktiviti-aktiviti pengkomersialan dan pemerkasaan program-program pembangunan bola sepak dan liga-liga bola sepak di negeri Selangor. Berdasarkan pencapaian-pencapaian di atas, pasukan utama Selangor FC kini merupakan pasukan kedua termuda di dalam Liga Super dengan purata umur 23 tahun dan mempunyai seramai 11 pemain muda yang memainkan peranan besar dalam mencatat kemenangan pasukan Kebangsaan bawah 23-tahun semasa kejohanan Kelayakan Piala Asia pada Oktober tahun lepas. Selangor FC percaya bahawa bakat pemain-pemain muda ini akan terus digilapkan untuk meningkatkan lagi prestasi mereka pada masa akan datang bagi mengembalikan zaman kegemilangan pasukan bola sepak Selangor di persada kebangsaan dan antarabangsa.

  3. Apakah perancangan kerajaan Negeri Selangor bagi meningkatkan penglibatan anak muda dalam sukan bola sepak?

    Penglibatan dan perkembangan anak muda Selangor di dalam sukan bola sepak merupakan antara agenda terpenting Selangor FC bagi memastikan Selangor meneruskan tradisi melahirkan jaguh-jaguh bola sepak untuk pasukan Selangor dan Kebangsaan pada masa akan datang. Antara usaha Selangor FC di dalam perkara ini adalah pengenalan program ‘Soccer School’ di mana Selangor FC menjalankan latihan bola sepak akar umbi di setiap sekolah rendah di negeri Selangor. Selangor FC akan menyediakan peralatan dan jurulatih di setiap sekolah bagi memastikan anak-anak muda didedahkan kepada kualiti latihan dan pertandingan bola sepak yang terbaik di Selangor sepanjang tahun. Selain itu, Selangor FC melalui pemain-pemain pasukan utama juga melawat sekolah-sekolah di sekitar Selangor pada setiap hari perlawanan untuk memberi semangat dan inspirasi kepada anak-anak muda untuk terlibat dalam sukan bola sepak. Selain itu, Selangor FC juga menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam memperkasakan liga-liga bola sepak peringkat negeri Selangor untuk setiap peringkat umur. Antara liga peringkat umur yang dianjurkan termasuk liga bawah 8-tahun, 10-tahun, 12-tahun, 14-tahun, 17-tahun, 19-tahun, 21-tahun, terbuka lelaki dan terbuka wanita. Selangor FC juga sering menghantar pencari-pencari bakat ke kejohanan-kejohanan Liga Selangor ini bagi memberi semangat dan peluang kepada anak-anak muda Selangor untuk bermain bola sepak di peringkat profesional untuk Selangor. Penganjuran liga yang komprehensif, sistematik dan berkualiti tinggi ini akan dapat menarik minat dan penglibatan anak-anak muda di dalam sukan bola sepak kerana hala tuju bola sepak yang tersusun dan jelas

Lampiran

Tiada Lampiran.