Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
9) PEMBANGUNAN RANGKAIAN 5G
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status terkini pelaksanaan rangkaian 5G di Selangor, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar?
Pelaksanaan 5G di Malaysia telah dijalankan oleh syarikat yang dilantik oleh Kerajaan iaitu pihak Digital Nasional Berhad (DNB) yang telah bermula sejak tahun 2021 lagi. Melalui DNB, Kerajaan telah menyasarkan untuk menyiapkan sebanyak 1,838 tapak di negeri Selangor yang merangkumi kawasan luar bandar dan pinggir bandar. Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 1,809 tapak telah beroperasi dengan 29 tapak lagi masih di dalam pelaksanaan. Dengan status ini, kadar liputan 5G ini telah mencapai 96.9% liputan bagi kawasan berpenduduk di negeri Selangor melepasi sasaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Sebagai usaha untuk terus meningkatkan lagi kadar liputan 5G di Selangor, syarikat U Mobile sebagai syarikat kedua yang dilantik oleh pihak Kerajaan sedang menyiapkan perancangan seterusnya yang akan melibatkan perancangan di negeri Selangor.
-
Bagaimana kerajaan negeri memastikan kelulusan menara telekomunikasi oleh PBT dapat dipercepatkan bagi mencapai sasaran 100% liputan 5G menjelang akhir tahun ini?
Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor telah menyediakan Garis Panduan Perancangan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi di Negeri Selangor 2019. Tatacara permohonan dan tempoh kelulusan telah dijelaskan di dalam garis panduan ini. Tempoh kelulusan bagi kebenaran merancang adalah 42 hari manakala bagi permit sementara bangunan adalah 35 hari. Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan untuk menggunapakai garis panduan ini secara menyeluruh agar pelan pelaksanaan dan pembinaan tapak 5G dapat dilaksanakan dalam tempoh sasaran masa yang telah ditetapkan. Pembinaan infrastruktur komunikasi di atas tanah rizab kerajaan negeri juga tidak ketinggalan dimana pihak Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor telah menyediakan tatacara permohonan di atas tanah rizab kerajaan yang mengambil masa tempoh kelulusan sebanyak 30 hari. Oleh yang demikian, pihak penyedia rangkaian tapak 5G boleh merangka pelan pelaksanaan infrastruktur 5G berdasarkan garis masa ini agar pelan pelaksanaan 5G dapat dicapai.
Pihak Yakin Telesel Sdn Bhd selaku One Stop Agency (OSA) infrastruktur telekomunikasi lantikkan oleh Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau laporan status infrastruktur 5G ini agar Selangor menjadi negeri terawal memberi liputan 5G sebanyak 100% di kawasan berpenduduk.
Selain itu, disarankan agar ADUN dan ahli majlis untuk menyokong pembangunan infrastruktur digital terutamanya tapak 5G dalam menangani aduan atau bantahan oleh komuniti setempat terhadap tapak yang telah mematuhi garis panduan supaya pelan pelaksanaan dapat dicapai.