Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

5) PEMBANGUNAN PUSAT KOMUNITI

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan dalam usaha penggunaan tanah terbiar bagi tujuan pembangunan pusat komuniti dan aktiviti sosial termasuk sukan?

    Rancangan untuk memanfaatkan penggunaan tanah terbiar bagi tujuan pembangunan pusat komuniti dan aktiviti sosial termasuk sukan adalah terkandung dalam Rancangan Tempatan (RT) setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sebagai contoh, RT Petaling Jaya yang telah diwartakan, 166 lot tanah telah dizonkan sebagai Institusi dan Kemudahan Masyarakat termasuk pusat komuniti dan kemudahan-kemudahan sukan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 147 lot tanah telah dibangunkan di mana 29 lot tanah adalah merupakan dewan orang ramai, balai raya, pusat komuniti dan kompleks sukan. Manakala baki 19 lot tanah lagi akan dibangunkan secara berperingkat bagi tujuan pembangunan Institusi dan Kemudahan Masyarakat.

    Dalam RT Petaling Jaya juga, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menetapkan bahawa stesen loji yang ditutup atau mana-mana tapak IWK yang tidak beroperasi selama tiga (3) tahun hendaklah digunakan bagi maksud kawasan lapang atau kegunaan awam. Selain daripada itu, pihak MBPJ juga sedang menyediakan garis panduan kegunaan atau aktiviti yang dibenarkan dijalankan sementara di atas tanah-tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) yang belum dibangunkan seperti tapak-tapak sekolah bagi cadangan kegunaan atau aktiviti yang dibenarkan termasuklah pusat sukan dan rekreasi.

  2. Senaraikan pusat komuniti atau dewan terbuka yang terjadual dibina pada tahun 2024 di bawah Dun Bukit Lanjan.

    Tiada pusat komuniti atau dewan terbuka dalam perancangan untuk dibina pada tahun 2024 di kawasan DUN Bukit Lanjan.

  3. Perincikan status permohonan pembinaan dewan komuniti di Mutiara Damansara.

    Setakat ini, tiada permohonan diterima bagi pembinaan dewan komuniti di kawasan Mutiara Damansara oleh Kerajaan Negeri atau MBPJ.

Lampiran

Tiada Lampiran.