Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
247) PEMBANGUNAN PROJEK KERAJAAN PERSEKUTUAN DI DALAM NEGERI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Siapakah yang bertanggungjawab memantau projek-projek kerajaan persekutuan seperti projek pemasangan Pilon TNB dan projek pembinaan lebuhraya?
Kerajaan Negeri tidak menghalang bahkan sentiasa mengalu-alukan sebarang perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan Kerajaan Persekutuan yang memberi manfaat kepada rakyat. Walau yang demikian, Kerajaan Negeri perlu juga untuk memastikan pelaksanaan projek-projek tersebut mematuhi akta-akta dan peraturan yang telah ditetapkan di peringkat negeri dan juga kerajaan tempatan.
Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Lebuhraya dan juga Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam diadakan sebagai forum yang digunakan untuk membincangkan perkaraperkara berkaitan pelaksanaan projek-projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan seperti projek pemasangan Pilon TNB dan projek pembinaan lebuhraya seperti yang disebutkan. Hal ini ditambah baik apabila Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 1/2015 yang bersidang pada 12 Februari 2015 telah membuat ketetapan bahawa projek-projek pembangunan infrastruktur seperti lebuhraya, LRT, MRT, Rel Berkelajuan Tinggi, Talian Voltan Tinggi, Janakuasa dan lain-lain projek berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar serta penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Perancang Negeri selaras dengan Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Seksyen ini dengan jelas telah menyatakan untuk setiap jabatan atau agensi kerajaan berunding dengan
Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) berkenaan aktiviti pemajuan yang hendak dijalankannya. Ini bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengambil maklum berkenaan dengan projek pembangunan yang hendak dilaksanakan dan mengelakkan kemungkinan pemajuan berkenaan terkeluar daripada perancangan dan seterusnya menyulitkan kerja-kerja penyelarasan pembangunan fizikal di kawasan tersebut.
-
Bilakah Kerajaan Selangor memaparkan semua laporan kajian yang berkaitan seperti laporan penilaian trafik dan LAPORAN PENILAIAN ALAM SEKITAR projek kerajaan persekutuan di laman web?
Untuk makluman Y.B. sekalian, laporan-laporan berkaitan pembangunan seperti Laporan Penilaian Trafik atau Laporan Penilaian Alam Sekitar seperti yang dinyatakan merupakan laporan-laporan yang perlu disediakan oleh pihak pemaju selaras dengan akta atau peraturan mengikut bidang kuasa masing-masing di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai pemilikan ke atas laporan-laporan berkenaan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri tidak pernah memaparkan sebarang laporan berkenaan di laman web.
Dalam pada itu, dokumen-dokumen ini adalah dokumen terhad kerajaan yang tidak membolehkan ianya didedahkan kepada umum.