Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

346) PEMBANGUNAN PROGRAM-PROGRAM DAKWAH ISLAMIAH DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan agensi kerajaan yang ditugaskan menjalankan kerja-kerja dakwah kepada bukan islam.

    Jabatan Agama Islam Selangor melalui Bahagian Dakwah merupakan agensi kerajaan yang ditugaskan unutk menjalankan kerja-kerja dakwah kepada bukan islam. Tugasan ini dilaksanakan juga dengan kerjasama Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) yang berada di bawah kluster dakwah dan islah. Sebanyak 12 PIBK yang berada di bawah kluster ini dan menerima wang ganjaran di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

  2. Nyatakan agensi kerajaan yang memberi khidmat sokongan psikososial kepada sahabat baru yang memeluk islam.

    Bagi Negeri Selangor, agensi kerajaan yang memberi khidmat sokongan psikososial kepada sahabat baru yang memeluk Islam ialah Majlis Agama Islam Selangor bersama Lembaga Zakat Selangor dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan. Jenis-jenis khidmat sokongan psikososial yang  diberikan termasuk:-

    1. Pendidikan Agama: Menyediakan kelas untuk pengajaran dan pemahaman serta bimbingan tentang prinsip-prinsip asas Islam dalam membentuk Insan Rabbani seperti ibadah, akhlak, dan syariat.
    2. Bimbingan Rohani: Menyediakan nasihat dan bimbingan rohani untuk membantu individu dalam memahami dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka.
    3. Sokongan Emosi: Menyediakan platform seperti ziarah dan mentoring untuk individu berkongsi perasaan, kebimbangan, atau cabaran emosi yang mereka hadapi dalam perjalanan mereka sebagai sahabat baru yang memeluk Islam.
    4. Bantuan Kebajikan: Menyediakan bantuan kebajikan seperti:
      i. Skim Bantuan Asasi – iaitu bagi menyokong keperluan asas melibatkan Bantuan Kewangan Bulanan, Bantuan dan Bantuan sewa rumah.
      ii. Skim Bantuan Utama – iaitu Bantuan Ramadhan dan Hari Raya dan Bantuan Keperluan Pendidikan Sekolah.
      iii. Skim Bantuan Sokongan – iaitu bantuan-bantuan lain dari segi Pembangunan ekonomi, perlindungan, pembangunan insan dan perundangan.
    5. Khidmat Kaunseling: Menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi membantu individu menangani isu-isu psikologi yang berkaitan dengan perubahan identiti dan kepercayaan mereka.
    6. Pengenalan kepada Komuniti: Memperkenalkan individu kepada komuniti muslim tempatan untuk membantu mereka merasa tergabung dan diterima dalam masyarakat Islam.
    7. Pembangunan Diri: Menyediakan sumber-sumber dan program untuk membantu individu dalam pembangunan diri mereka seperti laithan kemahiran.

    Melalui sokongan psikososial ini, Majlis Agama Islam Selangor bersama Lembaga Zakat Selangor dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan berperanan dalam membantu sahabat baru memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan besar dalam kehidupan mereka setelah memeluk Islam. Seterusnya, sokongan ini dapat memberikan mereka sokongan dan bimbingan yang diperlukan untuk memperkukuhkan keimanan dan integrasi mereka dalam masyarakat Muslim.

Lampiran

Tiada Lampiran.