Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
118) PEMBANGUNAN PERUMAHAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah ada pelan rancangan projek pembangunan perumahan baharu yang dirancang oleh Kerajaan Negeri atau Sektor Swasta di kawasan Ijok, Bestari Jaya dalam lima tahun akan datang dan apakah langkah yang diambil bagi memastikan pembangunan perumahan ini terancang?
Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan rekod yang ada di Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), terdapat beberapa projek perumahan mampu milik telah diluluskan dan dalam peringkat perancangan.
Untuk makluman Yang Berhomat juga, terdapat satu (1) projek kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di Bestari Jaya iaitu dikenali sebagai Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani. Ianya mengandungi 245 unit rumah teres satu tingkat dengan keluasan lot tanah 20 kaki x 60 kaki. Projek ini adalah penyelesaian kepada 245 keluarga pekerja ladang di lima estet di Bestari Jaya. Projek ini telah pun mendapat kelulusan Kebenaran Merancang pada 28 Oktober 2024 yang lepas dan dijangka akan memulakan pembinaan pada suku pertama tahun 2025 ini.
Selain itu, bagi penyediaan perumahan mampu milik (Rumah Selangorku) pula, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 16 projek Rumah Selangorku yang mengandungi 11,588 unit di Mukim Ijok yang sedang dan akan memulakan pembinaannya dalam tempoh lima (5) tahun akan datang. Daripada 16 projek tersebut, sebanyak dua (2) projek Rumah Selangorku yang terdiri daripada 1,412 unit sedang dalam pembinaan manakala baki 14 projek dengan 10,176 unit dalam peringkat perancangan. Perincian projek-projek tersebut adalah seperti di Jadual 1 dan Jadual 2 di Lampiran 1.
Bagi memastikan pembangunan Rumah Selangor ini terancang, pihak Kerajaan Negeri bersama-sama pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor akan memastikan semua pembangunan mengikut Rancangan Tempatan dan menyediakan kemudahan-kemudahan berkaitan mengikut Garispanduan Dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor yang terkini serta keperluan jabatan-jabatan teknikal berkaitan dipatuhi.
Kerajaan Negeri melalui LPHS juga sentiasa mengadakan pemantauan lawatan tapak bagi setiap projek Rumah Selangorku agar ianya berjalan dan siap mengikut jadual kerja yang telah ditetapkan.