Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
186) PEMBANGUNAN PERUMAHAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha dan insentif Kerajaan Negeri bagi menarik lebih ramai pemaju perumahan melaksanakan pembangunan perumahan mampu milik?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan beberapa insentif bagi tujuan sebagai galakan untuk menarik pemaju melaksanakan/ membina pembangunan perumahan mampu milik terutamanya Rumah Selangorku selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’. Antara insentif yang telah dan akan disediakan adalah seperti berikut:
- Penambahan kepadatan (densiti) Rumah Selangorku sehingga 120 unit per ekar di seluruh Negeri Selangor tertakluk kepada pertimbangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mengambil kira kesesuaian lokasi, kemudahan awam dan infrastruktur seperti jalan keluar masuk, keperluan laporan ‘Traffic Impact Assestment’ (TIA) dan keperluan mematuhi syarat teknikal yang ditetapkan oleh PBT.
- Penghapusan konsep subsidi silang dalam pembinaan Rumah Selangorku di mana penentuan harga jualan adalah berdasarkan kepada RM255.00 sekaki persegi yang mana harga jualan Rumah Selangorku bermula dari RM114,750.00 seunit berbanding harga dahulu RM42,000.00. Ini bermakna pemaju boleh membina Rumah Selangorku tanpa bergantung kepada hasil jualan rumah harga bebas mereka terlebih dahulu.
- Pengecualian Caj Pemajuan ke atas pembangunan Rumah Selangorku tanpa bertempoh.
- Penambahbaikan syarat kelayakan pembeli dengan meningkatkan pendapatan kasar isi rumah daripada RM10,000 kepada tidak melebihi RM14,500 sebulan. Ini akan memberikan peluang yang lebih luas (akses) kepada golongan B40 sehingga M40 yang berkelayakan dan belum memiliki rumah untuk membeli Rumah Selangorku yang telah dibina oleh pemaju.
- Memberikan pelbagai pilihan kepada pemaju agar terus membina rumah mampu milik dengan membenarkan pindaan komponen daripada rumah mampu milik yang sepatutnya di bina kepada rumah mampu milik yang lain dengan syarat- syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku serta di angkat untuk pertimbangan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).